Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buruan kes rasuah Indonesia dapat status ekspatriat di Malaysia

Buruan rasuah paling dikehendaki Indonesia, Djoko Tjandra, dipercayai tinggal di Malaysia sebagai ekspatriat menggunakan pasport Papua New Guinea, yang dikeluarkan di bawah nama “Joe Chan”.

Malaysiakini melihat salinan pasport tersebut serta pas penggajian yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Kategori 1, yang merangkumi individu yang diambil bekerja untuk jawatan penting dalam sesebuah syarikat.

Berdasarkan maklumat pada pas penggajian tersebut, Chan diambil bekerja sebagai pengarah operasi dan pembangunan Mulia Property Development Sdn Bhd.

Pas itu turut menyatakan bahawa ia dikeluarkan oleh ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya pada 20 September 2019, dan sah untuk tiga tahun sehingga 20 September 2022.

Pemeriksaan di laman web Bahagian Khidmat Ekspatriat Jabatan Imigresen mengesahkan bahawa syarikat itu menghantar semua dokumen yang diperlukan pada 11 September tahun lepas dan permohonan mereka disahkan, menunjukkan pengambilan individu yang menggunakan pasport Papua New Guinea itu berjaya.

Syarikat yang terlibat dalam pembinaan The Signature Tower 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) itu, merupakan subsidiari tempatan milik pemaju hartanah Indonesia Mulia Group, yang dikawal oleh abang Djoko, Eka Tjandranegara selaku pengarah-presiden dan pemilik.

Ketika dihubungi, penyelaras Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia (Maki), Boyamin Saiman berkata persoalan mengenai kerakyatan Djoko telah menjadi subjek dalam satu siasatan oleh ombudsman kerajaan Papua New Guinea, yang mengeluarkan laporan mereka pada 2018.

“Ombudsman Papua New Guinea mengesyorkan agar kerajaannya melucutkan status kerakyatan dia (Djoko) yang diberikan pada 2012.

“Bagaimanapun, syor mereka itu tak diendahkan,” kata Boyamin kepada Malaysiakini semalam.

Pada April 2018, media Australia ABC News melaporkan bahawa laporan Suruhanjaya Ombudsman Papua New Guinea yang dibentangkan di Parlimen menyatakan bahawa pemberian kerakyatan dan pasport kepada Djoko sebagai "tidak wajar dan tidak mengikut undang-undang".

Menurut laporan itu, Djoko memohon pasport Papua New Guinea bersama satu akuan berkanun bagi menukar namanya kepada Joe Chan.

Dia juga didakwa menukar tarikh lahirnya dari 27 Ogos 1951 kepada 27 September 1963.

Hal ini kemudian dilaporkan telah disahkan oleh duta Indonesia ke Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon, Andriana Supandi, yang mendedahkan pasport terbaru Djoko di bawah nama Joe Chan dikeluarkan pada Januari 2018 dan sah sehingga Januari 2023.

Di Indonesia, satu siasatan yang masih berjalan susulan penangkapan Djoko pada 30 Julai, dicetuskan oleh kepulangannya pada awal Mei untuk memperbaharui pasport dan kad pengenalan Indonesianya.

Pada masa itu, penasihat undang-undang Djoko, Anita Kolopaking dilaporkan berkata anak guamnya membuat permohonan pasport di Pejabat Imigresen Jakarta Selatan, tetapi ia tidak dikeluarkan sehinggalah 23 Jun iaitu sehari selepas dia pulang ke Kuala Lumpur.

“Jadi saya tanya dia, pasport apa dia guna (untuk meninggalkan Indonesia)? Tetapi katanya, ‘kamu tak perlu tahu tentang itu’,” kata Anita seperti dipetik.

Turut didapati bahawa Djoko - yang keluar dari Indonesia pada 2009 untuk lari daripada hukuman rasuah - berjaya mengeluarkan namanya daripada senarai notis merah Interpol semasa hidup dalam pelarian.

Ekoran gesaan orang awam, dia sekali lagi diisytiharkan sebagai orang dikehendaki oleh pihak berkuasa Indonesia pada 27 Jun, kira-kira sebulan selepas penangkapannya.

Sejak itu, taikun Indonesia Tommy Sumardi - besan kepada bekas perdana menteri Najib Razak - dituduh memberi rasuah kepada dua pegawai kanan polis untuk memudahkan penghapusan notis merah Interpol terhadap Djoko dan membantu perjalanannya.

Pegawai berkenaan kemudian disingkirkan daripada jawatan mereka atas dakwaan menerima rasuah.

Dakwaan kaitan Djoko di Malaysia ditimbulkan oleh bekas peguam negara Indonesia, HM Prasetyo, yang mendakwa Apandi Ali, ketika menjadi peguam negara pada 2016, telah membuat permintaan peribadi kepadanya supaya mempertimbang untuk menggugurkan sabitan terhadap hartawan berusia 68 tahun itu dan membenarkannya pulang sebagai warga bebas.

Setakat ini, polis Malaysia mengunci mulut berhubung perincian penangkapan Djoko, meskipun polis Indonesia beberapa kali menyuarakan penghargaan atas kerjasama yang diberikannya.

Malaysiakini sudah menghubungi Mulia Property Development untuk mendapatkan maklum balas berhubung hal ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS