Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon Pejuang tetap tenang walau pemimpin Umno turun padang

PRK SLIM | Calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, yang disokong oleh kem Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau tetap tenang meskipun dengan kehadiran pemimpin Umno untuk menyokong calon BN Mohd Zaidi Aziz.

Baru dua hari kempen pilihan raya kecil ini berlangsung, ia menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi BN turun padang di kawasan DUN itu untuk menyokong Zaidi.

Pada hari Jumaat, sehari sebelum hari penamaan calon, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli MT Umno, Shamsul Anuar Nasarah telah bertemu penduduk tempatan di sini.

Pada hari berikutnya, Presiden Umno Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak, pemimpin pemuda parti, Asyraf Wajdi Dusuki dan Shahril Hamdan hadir untuk berkempen.

Ini diikuti oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam.

Bagi Amir, beliau mendakwa telah mendapat sokongan penuh daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH), walaupun mereka belum menyertainya dalam kempen PRK ini.

Kelmarin (16 Ogos), hanya Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik yang dilihat menemani Amir untuk melawat penduduk tempatan di Trolak Utara.

Pertemuan tertutup Amanah-Pejuang

Difahamkan, presiden parti baru Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar Amanah berada di sini tetapi hanya untuk menghadiri pertemuan tertutup.

Bagaimanapun, menurut Amir, pemimpin PH yang lain akan datang untuk menyokongnya.

"Walaupun saya bertanding atas tiket bebas, mereka telah menyatakan secara terbuka bermula 13 Ogos.

MP Simpang Renggam Dr Maszlee Malik bersama Amir.

"Untuk makluman, saya telah dihubungi, jentera-jentera telah dihubungi oleh pemimpin parti-parti komponen PH, mereka telah bersetuju dan bersedia merancang program untuk kami.

"Pesan saya pada mereka, pasang badan saja. Tuan datang ke tempat kami. Kami sediakan program untuk tuan," katanya

Timbul spekulasi mengenai sejauh mana Pakatan Harapan akan menyokong Amir dan parti Pejuang yang menurut Mahathir, tidak berpihak kepada PN atau PH. 

Pejuang masih belum didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai parti politik.

Sebelum ini, PKR Perak berminat untuk bertanding pada pilihan raya ini sebelum PH memutuskan untuk memberi laluan kepada kem Mahathir.

"Kita boleh lihat pada 12 Ogos hari itu, semua ketua-ketua dari PH telah menyatakan sokongan kepada kita, MP Tanjung Malim YB Chang Lee Kang telah mengatakan sokongan, Anthony Loke, Mohamad Sabu, dan paling penting, Mukhriz dan Tun Mahathir.

"Jadi dengan kehadiran itulah, sebenarnya bohong kalau saya katakan bahawa PH tak sokong saya," katanya.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib kerana sakit jantung pada bulan Julai.

Semasa PRU14 pada tahun 2018, Mohd Khusairi menang kerusi itu dengan mengalahkan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi.

Hari pengundian ditetapkan pada 29 Ogos, dengan pengundian awal bakal berlangsung pada 25 Ogos.

Selain Amir, calon bebas yang lain ialah S Santharasekaran.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS