Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Trolak Pekan harap isu banjir 52 tahun selesai PRK kali ini

PRK SLIM | Setiap kali berlaku hujan lebat, Trolak Pekan akan dilanda banjir kilat.

Terletak lebih kurang 7 km dari pusat bandar Slim River, isu banjir di kawasan perumahan dengan 907 pengundi itu belum mendapat suatu penyelesaian muktamad.

Bagi penduduk pekan ini yang kini dibanjiri oleh pemimpin tempatan dan menteri persekutuan, mereka mengharapkan akan ada satu penyelesaian penuh dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kali ini.

Menurut Kuan Ah Song, 72 yang lahir di pekan ini berkata isu banjir dihadapi penduduk di situ sejak tahun 1968.

"Saya masih ingat, tahun 1968 kali pertama kami dilanda banjir yang besar.

"Sejak itu, tidak ada penyelesaian. Setiap kali hujan lebat akan melanda banjir kilat. Malah sejak beberapa tahun kekerapan dilanda banjir menjadi lebih teruk," katanya kepada wartawan Malaysiakini yang membuat tinjauan di kawasan tersebut hari ini.

Kuan (gambar, atas) menunjukkan rumah kedai miliknya di mana masih terdapat barang-barang yang rosak akibat banjir, sambil mengeluh dirinya berasa malas dan menyampah untuk membersihkannya.

"Saya malas membersihkan rumah saya selepas melanda banjir. Sebab, hari ini kita bersihkan, esok hujan lagi akan melanda semula.

"Lagi baik tidak buat apa-apa," katanya.

Menjelaskan lagi, Kuan memberitahu pembinaan landasan keretapi salah satu punca pekan itu dilanda banjir.

"Mereka ketika buat landasan keretapi, menutup banyak longkang dan paritan menyebabkan air sungai di pekan kami melimpah keluar," katanya.

Ramai pindah sebab banjir

Sementara itu, seorang warga emas mendakwa ramai penduduk pekan ini sudah berpindah ke kawasan lain kerana masalah banjir.

"Adik nampak tak banyak rumah terbengkalai di sini? Ini sebab mereka sudah pindah kerana isu banjir," kata Pathma Munusamy.

Ibu tunggal berusia 68 tahun itu (gambar atas), yang turut tinggal di rumah kedai jalan besar pekan tersebut berkata segala usaha mengadu isu ini kepada pihak kerajaan atau parti politik tidak membuahkan hasil.

"Setiap kali dilanda banjir, mereka datang memberi makanan. Lepas itu tidak balik ke sini.

"Malah, kami pernah buat laporan polis berhubung masalah banjir ini. Masih tidak ada sebarang penyelesaian," katanya.

Pathma turut menolak dakwaan jumlah penduduk terjejas akibat banjir sangat rendah menyebabkan isu ini tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Sebenarnya dulu banyak keluarga terjejas. Tapi, kebanyakan mereka sudah pindah. Sekarang masih sekurang-kurangnya 25 rumah sering terjejas akibat banjir.

"Jadi, kenapa kami tidak diberi perhatian?" tanya lagi.

Sungai Trolak perlu didalamkan

Secara umum kesemua penduduk di sana mengakui bahawa Sungai Trolak yang sangat cetek di pekan itu menjadikan banjir kilat sering berlaku.

"Dulu, orang panggil Sungai Trolak. Sekarang mereka panggil 'Sungai Trolak Banjir' kerana kekerapan banjir berlaku di kawasan kami," kata Ramesh Ramachandran.

Berusia 50 tahun, pemandu jentera berat itu berkata Sungai Trolak perlu didalamkan untuk menyelesaikan isu ini.

"Pembinaan rumah di kawasan sekeliling dan pembangunan lain menyebabkan sungai ini menjadi satu-satunya saluran untuk mengeluarkan air dari kawasan ini ketika hujan.

"Tetapi, ia tidak diselenggara dengan baik menjadi punca banjir. Sungai ini sangat cetek. Hujan sedikit jambatan dinaiki air," kata dia sambil menunjukkan jambatan yang dibina pada tahun 1939 itu.

"Kami dah jumpa semua orang termasuk bekas Yb Datuk Khusairi. Tiada siapa bantu kami.

"Harap kali ini yang datang (calon atau menteri) ke kawasan kami untuk meraih undi naik jentolak (supaya mendalamkan sungai)," katanya secara berseloroh.

Trolak Pekan salah satu daripada 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Slim.

Dengan jumlah 907 pengundi, sebanyak 239 adalah Melayu, 83 Cina, 389 India dan lain-lain sebanyak 196.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS