Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional disepakati secara prinsip'

Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) telah disepakati secara prinsip, demikian menurut Setiausaha Agung BN Annuar Musa.

Annuar berkata, sehubungan itu jawatankuasa pemandu MN akan memperincikan draf piagam dan memorandum persefahaman (MoU) sedia ada antara PAS dan Umno bagi menerima gabungan parti baru itu.

“Proses perbincangan (pemurnian piagam dan MoU) antara semua pihak perlu dijalankan secara berperingkat. Yang penting, proses itu dilaksanakan secara semula jadi dan berperingkat dengan sesuatu keputusan (yang dibuat) biarlah semua pihak berpuas hati,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen kepada beberapa penjaja di Batu Muda, Kuala Lumpur.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah memaklumkan secara rasmi bahawa penyertaan Bersatu dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.

"Kita ada menawarkan Bersatu sertai MN, hasrat itu sudah disampaikan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepada Presiden Bersatu,” katanya yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat MN.

Mengulas lanjut, Annuar berkata gabungan sesuatu parti politik tidak mudah kerana pembentukan MN sendiri mengambil masa lebih setahun untuk mencapai persetujuan.

“Adalah normal sebagai sebuah parti politik yang berbeza-beza (ideologi). Kita kena tunjukkan kematangan dalam politik, (ambil) pendekatan yang mengelak situasi tak harmoni,” katanya.

MN merupakan pakatan kerjasama antara PAS dan Umno dengan pembentukannya bertujuan menyatukan orang Melayu selain membentuk teras politik yang stabil.

Mengulas lanjut, Annuar berkata keutamaan kerajaan kini adalah memulihkan kembali ekonomi sebagai tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Jadi tak usah lihat daripada sudut parti...rakyat dan negara perlukan kerajaan yang stabil dan pemulihan ekonomi. Jadi apa yang pemimpin parti perlu buat ialah cari jalan ke arah kestabilan, itu yang akan kita lakukan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertanyaan Mukhriz Mahathir sama ada MN akan melantik Muhyiddin sebagai pengerusinya, Annuar menjawab ketiga-tiga parti di bawah muafakat itu meraikan kewujudan bersama serta tidak timbul soal perebutan jawatan pengerusi.

"Kita sudah tidak pakai sistem politik lama, sekarang kita dah migrate (berhijrah) jauh ke depan menggunakan politik yang diistilahkan politik ta'awun (bantu-membantu) dan ta'yush (hormat-menghormati).

"Konsep ta'awun iaitu daripada bergaduh kepada bekerjasama dan ta'ayush iaitu hormati prinsip co-existence (kewujudan bersama)," katanya.

Dia berkata fahaman falsafah politik Mukriz, yang juga Presiden Penaja (interim) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), ketinggalan 20 tahun kebelakang berbanding amalan politik baru gabungan politik Muafakat Nasional.

"Kena tiru model MN, bertoleransi, tiada masalah. Tujuh kali pilihan raya kecil, calon semua dari BN, tiada lagi calon daripada PAS, tetapi PAS tetap bekerjasama dan itulah model baru," katanya menambah meskipun BN mempunyai kerusi paling banyak, namun perikatan itu tetap menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan ia selari dengan sistem politik model baru.

"Kalau ikut model yang biasa, kena Umno (jadi perdana menteri). Apabila tiba masanya, mungkin Bersatu akan beri pada Umno semula untuk jadi perdana menteri," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS