Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ismail nasihat penyokong patuhi SOP, pakai pelitup muka

PRK SLIM | Kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Slim yang masuk hari kedua dilihat menghadapi sedikit kesukaran dalam mengamalkan penjarakan fizikal bagi membendung penularan Covid-19.

Ini berlaku apabila ada penduduk tempatan dan penyokong berpusu-pusu untuk bersalam dan mengambil gambar dengan pemimpin parti kegemaran mereka yang turun berkempen.

Justeru, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini meminta mereka yang terlibat dalam PRK itu supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya harap kepada semua penyokong dan jentera pilihan raya mematuhi setiap SOP yang dikeluarkan oleh SPR.

"Kalau di tempat yang bersesak pakai pelitup muka dan cuba melakukan penjarakan fizikal.

"Kalau tidak dapat mengelakkan penjarakan fizikal di kawasan yang sesak, kemudian mesti pakai pelitup muka," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan bersama calon BN Mohd Zaidi Aziz di Pekan Slim, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kemunculan beberapa kluster baru Covid-19 di utara Malaysia.

Menurut Ismail, apa yang lebih penting adalah penyokong mesti menjaga kesihatan diri mereka.

"Kita kerja untuk pastikan calon kita menang dengan bergaya. Tetapi, dalam masa yang sama saya harap jaga kesihatan, keselamatan diri," katanya.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai, akibat serangan jantung.

Ia akan diadakan pada 29 Ogos dengan pengundian awal ditetapkan pada 25 Ogos.

PRK itu diadakan ketika negara masih belum pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19, dengan 26 kes jangkitan baru dikesan semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS