Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Varian Covid-19 mudah berjangkit dikesan di 2 kluster
Diterbitkan:  Aug 16, 2020 8:49 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa semua pihak lebih berwaspada setelah varian virus yang menyebabkan Covid-19 - yang amat mudah berjangkit - telah dikesan di dua kluster di Malaysia.

Menerusi hantaran Facebook tengah malam tadi, Noor Hisham memaklumkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan virus dengan mutasi jenis D614G dalam sampel yang diambil daripada tiga kes berkaitan kluster Sivagangga, dan satu kes berkaitan kluster Bukit Tiram.

Tiga kes kluster Sivagangga merupakan kontak rapat kepada pemilik restoran Nezar Mohamed Sabur Batcha, yang telah dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana melanggar perintah kuarantin.

Satu kes kluster Bukit Tiram pula melibatkan seorang warga asing.

"Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan. Ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini.

"Pun begitu, ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia.

"Ia didapati sepuluh kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’," katanya.

Dia juga menyuarakan kebimbangan dengan kemungkinan kajian vaksin pada masa ini tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi tersebut memandangkan ia adalah mutasi baru.

Justeru, katanya, tindakan utama dalam pencegahan penularan wabak Covid-19 adalah dengan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, iaitu disiplin dalam mengamalkan prosedur operasi standard seperti penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi serta pemakaian pelitup muka terutama di tempat sesak

"Situasi terkini Covid-19 didapati masih terkawal dan Kementerian Kesihatan serta agensi-agensi lain masih berusaha membendung penularannya.

"Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan Covid-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun," katanya lagi.

Kluster Sivagangga dikenal pasti pada 28 Julai dan setakat ini telah menjangkiti 45 orang, menjadikannya kluster kedua terbesar - selepas kluster pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil dengan 653 kes - yang masih dalam pemantauan Kementerian Kesihatan.

Kluster Bukit Tiram pula kali pertama dilaporkan pada 25 Julai dan setakat ini melibatkan sepuluh kes.

Ketika sidang media 6 Ogos lalu, Noor Hisham menyebut tentang kemungkinan virus yang terlibat dalam kluster Sivagangga ada kaitan dengan genom Covid-19 dengan mutasi D614G yang menjadi perebak utama (super spreader), dan penyelidikan sedang dijalankan untuk mengesahkannya.

Ini memandangkan kluster itu tersebar "sangat cepat" berbanding kluster lain di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS