Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sertai Muafakat Nasional: Khaled beri peringatan buat Bersatu
Diterbitkan:  Aug 15, 2020 11:21 PM
Dikemaskini: 3:23 PM

Beberapa jam selepas Muhyiddin Yassin menyatakan keputusan Bersatu mahu menyertai Muafakat Nasional, seorang pemimpin kanan Umno tampil memberi peringatan buat parti berkenaan.

Menurut Mohamed Khaled Nordin berkata tidak ada masalah jika Bersatu memang benar-benar mahu menyertai gabungan rasmi yang setakat ini dianggotai Umno dan PAS itu.

Pun begitu, naib presiden Umno itu mengingatkan, langkah berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

"PPBM (Bersatu) boleh menyertai Muafakat Nasional (MN). Walau bagaimanapun kemasukannya dalam MN janganlah digunakan pula untuk mendesak Umno menyertai Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu hantaran ringkas di media sosial malam ini.

Pagi tadi Muhyiddin mengumumkan majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti itu memberi persetujuan untuk Bersatu menyertai MN dan menganggap ia sebagai langkah terbaik buat mereka.

"​Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition

"Insya-Allah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.

Kenyataan sama turut diulang bekas timbalan presiden Umno itu semasa menyampaikan ucapan di Johor Bahru malam ini.

Ada beza MN dan PN

Untuk rekod MN ialah kerjasama dua parti yang berseteru selama berpuluh-puluh tahun, Umno dan PAS, dan dibuat sebagai menghadapi Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan sebelum ini.

Ketika MN ditubuhkan, Bersatu adalah sebahagian daripada PH. Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu Muhyiddin - sama seperti kebanyakan pemimpin PH yang lain - giat menyerang Umno dan PAS.

Bagaimanapun melalui percaturan mengejut dikenali sebagai Langkah Sheraton, Muhyiddin membawa Bersatu bekerjasama dengan MN dan BN. Ia membolehkan Muhyiddin - yang sebelum ini menjadi menteri dalam negeri - menjadi perdana menteri.


Baca Pemuda Bersatu kena boo di acara Pemuda BN


Ia kemudian melahirkan PN iaitu sebuah gabungan yang sehingga kini belum berdaftar secara sah. Beberapa pemimpin kanan Umno secara terbuka dilihat memberi reaksi dingin terhadap kewujudan PN.

Pada masa sama kedudukan Muhyiddin dilihat begitu rapuh di parlimen kerana jumlah sokongan yang diperolehinya sangat tipis. Ia akan menyukarkan PN untuk mengambil sebarang langkah kritikal.

Pagi tadi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sendiri secara lantang menegaskan perlunya kerjasama dalam PN dijalankan secara jujur dan tidak menjadikan parti itu seperti melukut di tepi gantang.

Kehadiran Pemuda Bersatu (Armada) di majlis itu pula diejek pengokong BN.

Khaled juga mengingatkan ada perbezaan di antara menjadi anggota MN dan PN.

"Menjadi sebahagian daripada MN sangat berbeza dengan menjadi sebahagian daripada PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS