Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amat tidak wajar boo wakil Armada, kata Annuar
Diterbitkan:  Aug 15, 2020 5:36 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

PRK SLIM | Setiausaha Agung BN Annuar Musa beranggapan layanan penyokong BN terhadap wakil Pemuda Bersatu (Armada) majlis pelancara jentera Pemuda BN menjelang pilihan raya kecil (PRK) Slim hari ini sebagai sangat tidak wajar.

Kata Annuar Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menumpukan gerak kerja untuk PRK Slim secara berpasukan.

Menurutnya ada kemungkinan kejadian itu berlaku dengan pengaruh suasana ketika majlis itu berlangsung.

“Harap ia tidak benar. Jika benar ia amat tidak wajar. Mungkin kerana suasana gallery dan ada yang play to the gallery," ciapnya sambil mengepilkan laporan berita Malaysiakini petang ini. 

Kejadian menyorak wakil Armada itu berlaku ketika Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi ucapan perasmian. 

Tiga wakil Armada - termasuk ketuanya untuk Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh - berada di atas pentas ketika Zahid menyampaikan ucapannya.

"Pada (PRK) Chini dan Slim, ada Armada Bersatu," kata Ahmad Zahid dengan disambut jeritan boo daripada hadirin.

Ahmad Zahid juga boleh dianggap tidak menunjukkan simpati apabila dia terus memberikan cabaran kepada Armada untuk membuktikan keberkesanan mereka dalam PRK kali ini.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid meminta Armada membuktikan keupayaan mereka benar-benar jujur dan ikhlas ketika Umno memberikan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Jika Bersatu gagal menarik 6,000 undian kepada wakil BN dalam PRK Slim, kata Ahmad Zahid, maka BN patut menilai semula kerjasamanya dengan Bersatu.

Annuar berkata, usaha menyatukan kumpulan yang berbeza memang tidak mudah namun semua pihak perlu bersabar sambil mengukuhkan perpaduan sesama sendiri.

“Maaf kiranya ada yang tak kena. Kita tumpu PRK secara berpasukan,” ciap Annuar.

PRK Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Mohd Zaidi Aziz (BN) dan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santharasekaran Subramaniam.

Calon bebas yang disokong Pejuang, Amir Khusyairi

Perhatian banyak diberikan kepada Bersatu sebagai komponen PN kerana di kawasan selesa buat BN itu, orang ramai mahu melilhat keberadaan sebenar parti berkenaan.

Walaupun hanya berdepan calon bebas - yang biasanya tidak begitu memberikan cabaran dalam mana-mana pilihan raya - namun salah seorang daripada mereka jelas mewakili kumpulan penentang Muhyiddin.

Pencalonan Amir Khusyairi diumumkan sendiri oleh bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, pada 12 Ogos lalu. 

Bekas perdana menteri itu juga mengumumkan nama wadah barunya - Parti Pejuang Tanah Air - di majlis berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS