Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah kawasan gesa wujudkan pakatan dengan Pejuang
Diterbitkan:  Aug 15, 2020 4:46 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Empat ketua Pemuda Amanah kawasan menggesa parti mereka mewujudkan pakatan bersama Dr Mahathir Mohamad dan parti yang bakal ditubuhkan bekas perdana menteri itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Keputusan ini sejajar dengan usaha untuk menegakkan kembali mandat rakyat dan sistem demokrasi negara tanpa dibelenggu oleh penangguhan tidak berkesudahan daripada individu yang mempunyai kepentingan politik peribadi," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh oleh ketua pemuda kawasan Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli, Mohd Nur Fadhil (Bandar Tun Razak), Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Bukit Bintang) dan Anhdeer Supardy (Batu).

Jelas kenyataan itu lagi, Pemuda Amanah mahu membantu pembinaan semula sistem demokrasi, ekonomi dan pentadbiran negara pasca wabak Covid-19.

"Justeru, kepimpinan Amanah harus fokus kepada perjuangan menyelamatkan rakyat Malaysia daripada terus diterajui oleh kerajaan pengkhianat yang sanggup menggadaikan integriti dan menyokong kleptokrat demi imbuhan jawatan dan kuasa," kata mereka.

Pakatan Harapan yang turut dianggotai Amanah, berusaha untuk mendapatkan kembali kuasa setelah digulingkan pada akhir Februari melalui Langkah Sheraton.

PH kini mempunyai sokongan 109 anggota parlimen pembangkang berbanding 113 ahli parlimen Perikatan Nasional.

Masing-masing pembangkang dan kerajaan sedang cuba mewujudkan gabungan bersama parti-parti lain.

Bagaimanapun, PH sebelum ini berdepan kebuntuan berhubung calon perdana menteri apabila PKR berkeras bahawa presiden parti Anwar Ibrahim harus menjadi perdana menteri sementara kumpulan Dr Mahathir Mohamad mahukan beliau menggalas tugas itu.

DAP dan Amanah kemudian mencadangkan presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri tetapi ia gagal mengakhiri kebuntuan.

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari lalu setelah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik partinya keluar dari gabungan itu dan bergabung dengan sekumpulan bekas wakil rakyat PKR.

Mereka kemudian bekerjasama dengan BN, PAS, GPS, PBS dan STAR untuk membentuk kerajaan PN.

Mahathir, yang ketika itu merupakan pengerusi Bersatu dan perdana menteri kerajaan PH, enggan menyertai gerakan politik berkenaan kerana enggan bekerjasama dengan Umno.

Mahathir dan penyokongnya kemudian dipecat dari Bersatu yang membawa kepada rancangan penubuhan parti serpihan baru oleh Mahathir, Pejuang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS