Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

PRK SLIM | Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dijangka menghadapi pertembungan tiga penjuru.

Proses mengemukakan kertas pencalonan bagi PRK DUN Slim bermula tepat 9 pagi tadi.

Pengurus SPR untuk PRK itu Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 10 pagi ini.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, telah diumumkan sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak itu.

Selepas undian Mohd Zaidi disenarai sebagai calon nombor dua di atas kertas undi.

Sementara itu, calon mewakili parti baru Pejuang yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 pula akan bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang "pokok."

Amir Khusyairi pula akan muncul sebagai calon nombor satu di atas kertas undi, manakala seorang lagi calon bebas ahli akademik Santhara Sekaran Subramaniam yang menggunakan logo "buku" disenarai pada nombor tiga kertas undi.

Berikutan wabak Covid-19, tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan sekali gus menjejaskan kemeriahan hari penamaan calon yang seringkali diwarnai dengan perarakan serta laungan daripada penyokong parti bertanding.

Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon.

Sementara itu, seorang konsultan modal insan berkata bahawa beliau tidak dapat menyerahkan borang penamaan calon kerana masalah teknikal ketika mengisi borang.

Mohd Ikmal Mohd Iskandar, 37, yang berasal dari Manjung, Perak tiba ke pusat penamaan calon pada pukul 9.50 pagi, bagaimanapun dilihat tidak memasuki ke dewan. 

"Saya berniat nak bertanding atas semangat demokrasi.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat serah borang sebab ada masalah teknikal," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu, seorang lagi tidak dapat menyerahkan borang memberitahu bahawa penyokong dan pencadang tidak sempat ke pusat penamaan atas beberapa sebab tidak dapat dielakkan.

Nadarajah Veerapan, 59 bekerja di sebuah firma peguam berkata bahawa berasa sedih kerana niatnya untuk bertanding tidak kesampaian.

"Saya berasal dari Slim River. Anak tempatan.

"Namun, hari ini saya tidak dapat masuk ke dalam selepas pencadang dan penyokong saya tidak sempat ke sini sebelum pukul 10 pagi atas beberapa sebab tidak dielakkan," katanya kepada Malaysiakini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

[Baca berita asal]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS