Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hutang tinggi bersifat sementara, boleh diurus - BNM
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 3:06 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Cadangan untuk menaikkan had statutori hutang negara sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus pada masa ini adalah bersifat sementara dan boleh diuruskan kerajaan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata peningkatan tahap hutang semasa krisis bukanlah sesuatu yang baharu kerana Malaysia sudahpun berbuat demikian sebelum ini.

Mengimbas kembali, nisbah hutang berbanding KDNK Malaysia ialah 80.7 peratus pada 1990 sebelum jatuh kepada 31.8 peratus pada 1997.

Ia kemudiannya mengukuh kepada 41.4 peratus pada 2001 dan meningkat kepada 52.8 peratus pada 2009 dan nisbah itu telah kekal melepasi 50 peratus dari tahun 2009 hingga 2018.

“Kenaikan ini bersifat sementara dan bank serta kerajaan mempunyai kemampuan/kapasiti. Kadar faedah kita telah turun, pinjaman kini jauh lebih murah, maka, kesan nisbah pembayaran hutang juga akan menjadi lebih rendah,” tambahnya.

Malaysia, ujar beliau tidak pernah berhadapan masalah dalam pelunasan hutang, yang terutamanya berdenominasikan ringgit.

“Kita tidak ada hutang tukaran asing dan sekiranya ada, ia akan mendedahkan negara kepada hutang yang tinggi kerana nilai mata wang menyusut,” kata beliau.

Menjelaskan secara terperinci, beliau berkata kejutan permintaan dan penawaran berikutan pandemik Covid-19 ialah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Jadi, perlukah kita berpegang kepada keperluan untuk berhutang dan terus menerus menjejaskan ekonomi serta mengekang kemampuan ekonomi? Itu akan lebih merosakkan dalam tempoh jangka panjang.

“Maka, apa yang penting sekarang ialah memelihara ekonomi sebaik mungkin dan menaikkan had statutori hutang adalah langkah bijak daripada membinasakan kapasiti ekonomi, hanya kerana kita mahu mengekalkan paras hutang,” kata beliau.

"Paling mustahak, ia digunakan untuk apa, adakah digunakan untuk sesuatu yang produktif dan memberikan jaringan keselamatan sosial tambahan kepada sektor yang lemah, iaitu satu langkah yang tepat. Maka, memang patut kita naikkan had hutang itu.

Bank pusat hari ini mengumumkan penguncupan dua digit iaitu 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Antara sektor yang menyumbangkan kepada penurunan prestasi terutamanya untuk bulan April termasuk perdagangan runcit, eksport dan indeks pengeluaran perindustrian.

Minggu lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mengusulkan untuk menaikkan had statutori hutang sehingga 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus pada masa ini.

Dibentangkan untuk bacaan pertama ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat minggu lepas, beliau berkata cadangan itu, antaranya ialah menaikkan had statutori hutang.

Peningkatan jumlah hutang ini adalah bagi membiayai defisit yang turut mengambil kira pelaksanaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi dengan suntikan langsung fiskal, jelas beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS