Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan belanja RM96 juta untuk kos ujian saringan Covid-19
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 12:32 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Kerajaan membelanjakan hampir RM100 juta bagi kos reagen dan kit ujian untuk melakukan saringan Covid-19 sehingga hari ini, kata Kementerian Kesihatan.

Menterinya, Dr Adham Baba berkata kos terbabit diambil kira dari Januari 2020, iaitu ketika virus itu mula dikenal pasti dan ujian Covid-19 dimulakan di dalam negara.

Adham berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan daripada Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai kos dan jumlah ujian saringan Covid-19 yang telah dilakukan oleh kerajaan sehingga Jun.

“Sehingga kini, sebanyak 55 fasiliti awam dan swasta boleh melakukan ujian Covid-19. Ujian saringan Covid-19 ini melibatkan ujian Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test kit (Antigen) (RTK Ag).

"Mengambil kira terdapat individu yang menjalani ujian pengesanan lebih daripada sekali, maka sehingga 6 Ogos 2020, sebanyak 1,867,673 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, melibatkan 1,742,302 ujian RT-PCR dan 125,371 RTK Ag," kata Adham.

Menurut Adham, statistik terkini sehingga 6 Ogos 2020 juga menunujukkan seramai 1,012,660 individu telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 di Malaysia.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 72,736 bukan warganegara telah disaring (7.2%) dan sebanyak 2,683 daripada bukan warganegara ini dikesan positif ujian saringan Covid-19.

"Kes yang dikesan positif akan dimasukkan ke wad isolasi bagi menerima rawatan selanjutnya bergantung kepada keperluan klinikal individu," katanya.

Kata Adham lagi, mengambil kira terdapat individu yang menjalani ujian pengesanan lebih daripada sekali, maka sehingga 6 Ogos 2020, sebanyak 1,867,673 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, melibat 1,742,302 ujian RT- PCR dan 125,371 RTK Ag.

"Ini merangkumi 7.2 peratus daripada 1.012.660 individu yang diuji pada masa yang sama, di mana 2.683 orang asing diuji positif terhadap virus yang telah menyebabkan krisis kesihatan global.

"[...] Justeru, sama ada warganegara atau bukan warganegara, sama ada pendatang asing dengan izin (PADI) atau pendatang asing tanpa izin (PATI), kesemua orang akan melalui proses yang sama bagi semua aktiviti kesihatan awam di Malaysia," katanya Adham lagi.

Antara proses yang harus diikuti adalah:

- Pengesanan kes dan pengesanan kenalan.
- Perlaksanaan ujian pengesanan Covid-19.
- Pemberian Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian di rumah atau stesen kuarantin
- Pengurusan kes dan kontak rapat.
- Protokol rawatan
- Perlaksanaan aktivitinyahkuman
- Pemakluman isu dan nasihat kesihatan
- Pengurusan jenazah bagi kes kematian Covid-19.

Sehingga tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 9,129 kes positif Covid-19 di seluruh negara, di mana 183 kes adalah aktif. Jumlah kematian setakat ini adalah 125.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS