Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelitup muka: Pertubuhan farmasi gesa k'jaan libatkan pihak berkepentingan
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 9:56 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Beberapa pertubuhan farmasi di seluruh negara menggesa kerajaan melibatkan  pihak berkepentingan sebelum mengumumkan harga siling baru untuk pelitup muka.

"Walaupun kami memuji usaha kerajaan dalam memastikan pelitup muka mampu dibeli oleh orang ramai, kami sangat berharap agar kerajaan akan berunding dengan lebih banyak pihak berkepentingan, terutama mereka yang mewakili ahli farmasi, iaitu Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Farmasi Sarawak dan Persatuan Farmasi Sabah sebelum membuat keputusan seperti itu yang mempunyai kesan ketara,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang; Presiden Persatuan Farmasi Sarawak, Susan Tang dan Presiden Persatuan Farmasi Sabah, Jemima Ho.

Mereka berkata terdapat banyak jenis pelitup muka yang kini dijual di pasaran, dengan pelitup muka perubatan digunakan oleh petugas kesihatan sebanyak 95 peratus dan jauh lebih tinggi berbanding pelitup muka bukan perubatan, sekitar 65 hingga 80 peratus.

Oleh itu, kos pembuatan pelitup muka perubatan tiga lapis jauh lebih tinggi, kata mereka.

"Kami ingin mendesak kerajaan menetapkan harga siling untuk pelbagai jenis pelitup muka tiga lapis dan bukannya harga perlindungan untuk pelitup muka perubatan sahaja," kata mereka.

Kerajaan juga kata mereka harus mempertimbangkan agar pengeluaran pelitup muka yang baru didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa harga siling baru untuk pelitup muka tiga lapis akan dikurangkan daripada RM1.50 kepada RM1.

Ketiga-tiga pertubuhan farmasi itu juga mendesak kerajaan mempertimbangkan kos logistik tambahan untuk membawa pelitup muka kelas perubatan ke Sabah dan Sarawak.

"Pengangkutan laut dan kargo udara masih mahal dan kosnya lebih tinggi di Malaysia Timur," kata kenyataan itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS