Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Sarawak kembali ‘hijau’, tindakan KKM hantar pasukan khas tepat

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengisytiharkan secara rasmi bahawa Sarawak kembali menjadi negeri berstatus ‘hijau’ selepas merekodkan catatan sifar kes Covid-19 selama 14 hari.

Ketika mengumumkan hal itu, dia memuji kejayaan satu pasukan khas yang dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memerangi wabak itu di negeri berkenaan bulan lalu, ekoran peningkatan bilangan kluster yang dikesan di sana.

“Kita ada 10 kluster di Sarawak, dalam dua minggu tak ada pertambahan kes. Sarawak kini dah hijau balik.

“Ini menunjukkan tindakan kita hantar Dr Hishamshah (Mohd Ibrahim) dan Dr Norhayati Rusli ke lapangan dan tindakan diambil oleh kesihatan awam berjaya.

“Kita juga berjaya tingkatkan keupayaan makmal di Hospital Umum Sarawak (HUS), harap dapat kekal mengawal dan membendung penularan Covid-19 di negara kita,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Hishamshah adalah timbalan ketua pengarah kesihatan (penyelidikan dan sokongan teknikal), sementara Norhayati merupakan pengarah bahagian kawalan penyakit di KKM.

"KKM juga telah meningkatkan keupayaan makmal (pengesanan Covid-19) di Hospital Umum Sarawak... KKM akan terus memantau untuk membendung penularan Covid-19 di negara kita," katanya.

Ketika ditanya sekiranya terdapat kes positif virus itu yang berkaitan perhimpunan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika perbicaraan bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 28 Julai lepas, Dr Noor Hisham berkata tiada kes positif yang dilaporkan, sehingga kini.

Ditanya mengenai status kajian sama ada kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga berkaitan dengan mutasi D614G, Dr Noor Hisham berkata kajian penjujukan genom memakan masa dan ia boleh diketahui dalam masa seminggu lagi.

Beliau berkata setakat ini KKM hanya mensyaki kluster Sivagangga di Kedah hadapi mutasi D614G kerana ia merebak dengan pantas sekali, namun mengesahkan perkara itu memerlukan kajian genom.

"Penjujukan genom memakan masa kerana virus perlu diasing dan dikultur sebelum boleh dibaca. Dalam seminggu lagi dapat keputusan sama ada ya atau bukan (mutasi D614G)," jelasnya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham berkata selain penjagaan kesihatan awam, kawalan sempadan juga perlu ditingkatkan kerana virus mutasi D614G turut dilaporkan di Eropah dan negara lain.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS