Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti barunya dikenali sebagai "Pejuang" siang tadi, bekas perdana menteri pada malam ini memberitahu nama penuh wadah politik itu sebagai Parti Pejuang Tanah Air.

"Saya tak minat parti baru. Bukan untuk memecah orang Melayu lagi, tetapi untuk memberi tempat kepada orang Melayu supaya mereka dapat memilih sebuah parti yang berjuang untuk mereka untuk rakyat bukan untuk 'apa aku dapat'.

"Bersatu kena 'hijack' dan kami dibuang, saya sendiri sebagai pengerusi dibuang. Pergi mahkamah dan mahkamah kata apa Muhyddin (Yassin) buat betul. Sebab itu kita terpaksa tubuh parti baru.

"Jadi, saya nak isytiharkan parti ini dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air," katanya  membuat pengumuman itu pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi PRK Slim di Slim malam ini.

Menjelaskan lanjut, perjuangan parti Pejuang bermula pada PRK Slim walaupun calon parti yang bakal menghadapi BN akan bertanding tiket bebas.

“Kita bermula dengan memperkenalkan seorang calon di PRK DUN Slim, oleh kerana kita belum dapat tubuh parti, dia dikenali sebagai calon bebas tapi dia sebenarnya dia adalah calon Pejuang.

“Saya harap segala pejuang bangsa di Slim akan menyokong calon kami, calon parti Pejuang,” jelas beliau.

Dr Mahathir pada malam ini mengumumkan peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi PRK DUN Slim.

Bagaimanapun, memandangkan Pejuang masih belum berdaftar secara rasmi dengan ROS maka Amir akan bertanding sebagai calon bebas.

Berucap di hadapan lebih 500 hadirin, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini bukan lagi berkhidmat untuk bangsa, negara agama tetapi untuk 'apa aku dapat'.

"Bersatu ini yang pindah menyokong Muhyiddin, bukan kerana selamatkan Melayu daripada dihancur oleh DAP. Tetapi kerana nak jawatan, nak dapat pendapatan yang banyak, gaji yang tinggi. Itu lah kerajaan yang ada sekarang ini.

"Saya tanya seorang menteri "Kenapa tidak kembali kepada parti kita? Jawabnya: "Saya menteri balik ke parti habis lah, tak dapat lah duit".

"Jadi perjuangan untuk apa? Untuk duit, sebab itu saya kata lebih baik kita tubuh sebuah parti yang kita panggil dengan nama 'Parti Apa Aku Dapat' . Semua yang ada dalam kerajaan ini dapat sesuatu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS