Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi yakin PAS, Umno, Bersatu mampu raih sokongan dua pertiga
Diterbitkan:  Aug 12, 2020 7:23 PM
Dikemaskini: 11:24 AM

PAS, bersama dengan sekutunya Umno dan Bersatu, mampu membentuk kerajaan baru dengan majoriti dua pertiga sekiranya pilihan raya mengejut diadakan,” kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"Sekiranya kita gabungkan sokongan untuk PAS, Umno dan Bersatu, ada banyak kerusi yang boleh kita menangi.

“Kita mampu perolehi kemenangan majoriti dua pertiga," kata Hadi dalam wawancara dengan Reuters.

Hadi menjangkakan pilihan raya mengejut akan diadakan antara akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Hadi yang menginginkan supaya pilihan raya mengejut diadakan, berkata ia perlu untuk menambahkan bilangan wakil rakyat Melayu / Islam di Dewan Rakyat dan mengesahkan mandat Perikatan Nasional untuk terus berkuasa.

"Untuk memastikan kestabilan politik, penting supaya kaum yang menguasai masyarakat memimpin kerajaan,” katanya.

Dia menambah bahawa parti gabungan dalam PN juga komited dalam memberikan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri mereka.

Spekulasi bahawa Muhyiddin akan membubarkan Dewan Rakyat supaya pilihan raya mengejut akan diadakan sejak terbentuknya kerajaan PN pada Mac semakin bertiup kencang.

Dia kini memimpin kerajaan dengan majoriti yang sangat tipis di Parlimen.

Parti Muhyiddin, Bersatu ketika ini mula dipinggirkan dengan semakin ramai ahli akar umbi berhijrah ke parti baru yang dibentuk oleh Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah pengasas bersama Bersatu. Namun, Muhyiddin bertindak memecat Dr Mahathir dari parti itu pada Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS