Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP k'jaan dan pembangkang bersatu sokong desak PBB singkir Israel

PARLIMEN | Lebih 130 ahli parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen mengecam dan menolak rancangan pengilhakan oleh Israel.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata petisyen berkenaan menggarisan enam cadangan antaranya mengusir Israel daripada perhimpunan dan semua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya ingin mengumumkan sehingga hari ini, petisyen ini telah ditandatangani oleh lebih 130 orang ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

"Mereka menyatakan solidariti dan sokongan terhadap usul dan cadangan-cadangan yang dikemukakan bersama usul tersebut.

"Turut menandatangani petisyen ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, bekas perdana menteri Dr Mahathir dan bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 16 Julai lalu, Persidangan Kamar Khas Parlimen sebulat suara bersetuju dengan usul khas dibawa Syed Ibrahim mengenai isu Palestin, antara lain menggesa kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mendesak agar Israel disingkirkan daripada PBB.

Usul berkenaan dibawa ekoran pelan damai yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kononnya untuk menyelesaikan konflik di antara Israel dan Palestin.

Syed Ibrahim berkata, ketika usul khas itu dibahaskan, pihaknya mengharapkan agar anggota Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang bersatu menunjukkan kesepakatan dan melontarkan kelantangan melibatkan isu Palestin.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata sebahagian anggota Parlimen yang tidak menandatangani petisyen itu termasuk menteri dan timbalan menteri.

Oleh itu beliau menggalakkan lebih ramai lagi ahli parlimen tampil menandatangani petisyen itu.

Bagaimanapun beliau sedar menteri dan timbalan menteri berdepan kekangan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kerjasama membabitkan kerajaan.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata petisyen itu akan diserahkan kepada kedutaan Amerika Syarikat dan kedutaan Palestin Isnin depan.

"Ia juga akan turut dipanjangkan kepada Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Kesatuan Ahli Parlimen Serantau seperti Asean Inter-Parliamentary Assembly (AIPA)," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS