Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DUN KELANTAN | Kerajaan Kelantan akan memperhalusi dan melakukan kajian terperinci sama ada persembahan tradisional main puteri akan dibenarkan atau terus diharamkan seperti sekarang.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Md Anizam Ab Rahman berkata, setakat ini permainan main puteri belum dibenarkan untuk dipersembahkan di negeri itu.

Katanya, kerajaan juga belum membuat kajian lanjut bagi mengenal pasti bagaimana pendekatan yang boleh diambil bagi membolehkan tradisi itu diselaraskan dengan syariat Islam.

"Permainan main puteri masih belum lagi (dibenarkan) perlu dibuat kajian yang lebih teliti. Insya-Allah kita akan buat kajian lebih teliti, kita akan jemput Adun Galas bersama dalam rundingan meja bulat, kita akan murnikan benda ini.

"Kalau sangkut, sangkut di mana, kalau tersumbat, tersumbat di mana, dan (aspek) mana yang tersangkut (bertentangan) dengan syariah. Kalau dah diperbetulkan Insya-Allah boleh," katanya pada sesi sidang dewan undangan negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Anizam (PAS- Kemahang) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahbuddin Mohd Hashim (BN-Galas) mengenai sejauh mana kajian dibuat oleh kerajaan negeri berhubung permainan main puteri.

Ia susulan soalan yang dikemukakan oleh Mohd Huzaimy Che Hussin (PAS- Pantai Irama) mengenai sama ada kerajaan Kelantan mahu mempergiatkan semula persembahan mak yung dan main puteri di Kelantan.

Sementara itu Anizam berkata, dalam usaha mempergiat semula dan persembahan kebudayaan makyung, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mementaskan persembahan makyung yang patuh syariah di semua jajahan.

"Kita berkolaborasi dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan dan sudah mengenal pasti unsur nasihat, bimbingan nilai murni yang diolah untuk tujuan penyampaian mesej yang baik.

“Antara cerita yang akan dipersembahkan seperti anak raja dua beradik dan raja panah. Pasa asasnya, struktur persembahan mak yung tidak diubah bagi memastikan ianya kekal.

"Namun dialog ditambah baik dengan setiap akhir babak akan diselit petikan hadis dan ayat al-Quran yang secara tidak langsung mendidik ke arah positif," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS