KES PINDA AUDIT 1MDB | Langkah kerajaan membenarkan 1MDB menyemak laporan Jabatan Audit Negara (JAN) terhadap syarikat itu adalah satu penghinaan, kata bekas ketua audit negara Ambrin Buang.
"Saya dapati ia adalah satu penghinaan apabila pihak yang diaudit dibenarkan menyemak laporan saya, halaman demi halaman, perenggan demi perenggan, dan apa saja pendirian yang kami nyatakan dalam laporan itu boleh dibuang.
"Saya diberitahu untuk pendam saja pendirian (keep my opinion to myself) dan tulis buku tentang cara untuk jadi bahagia," katanya ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes pinda audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, hari ini.
Bagaimanapun, Ambrin tidak menerangkan secara lanjut berkenaan siapa yang memberitahunya agar tidak menyatakan pendiriannya.
Dia berkata, mesyuarat pada 24 Feb 2016, yang diadakan selepas setiausaha sulit kanan Najib ketika itu, Shukry Salleh dapat tahu tentang rangka laporan dan meminta kandungan tertentu dibuang, adalah sesuatu yang di luar kebiasaan.
"Pindaan bukan saja dalam isu spesifik seperti penyata kewangan yang berbeza...
"Apa yang membuatkan saya tak gembira adalah (ketua setiausaha negara ketika itu) Ali Hamsa membenarkan (CEO 1MDB ketika itu) Arul Kanda untuk duduk bersama pasukan saya dan menyemak laporan kami, halaman demi halaman, perenggan demi perenggan, dan memadamkan rujukan. Ini adalah abnormal," katanya.
Ketika pemeriksaan balas, Shafee turut membangkitkan keterangan Ambrin pada 2018, yang menyatakan laporan audit tersebut tidak diubah, dan dia juga menyatakan perkara sama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Disember tahun yang sama.
Ambrin sekali lagi mengatakan dia tidak setuju dengan istilah "tamper" (ubah), dan dia membenarkan perubahan dalam laporan JAN atas permintaan kerajaan, walaupun dengan hati yang berat.
Shafee: Anda tidak senang dengan sindiran yang anda benarkan laporan itu diubah (tamper)?
Ambrin: Isunya pada (istilah) "tampering" (yang bermaksud) ia tanpa kebenaran. Ada pindaan di beberapa tempat dan dibenarkan atas kapasiti saya sebagai ketua audit. Maka ia bukan tiada kebenaran. Saya tampil di depan PAC untuk mengatakan tiada "tampering" oleh orang yang di luar kawalan saya.
Shafee: Anda tidak senang dengan sebarang cadangan bahawa laporan anda mengandungi beberapa "tampering"?
Ambrin: Saya tidak setuju dengan istilah "tampering".
Bagaimanapun, Ambrin menegaskan ada dua versi laporan itu - iaitu rangka yang disediakan oleh JAN untuk dibentangkan dan satu lagi versi yang telah dipinda selepas kerajaan meminta agar beberapa maklumat tidak dimasukkan.
Ia termasuklah tindakan 1MDB mengeluarkan dua versi penyata kewangan untuk tahun sama atas dasar satu laporan polis akan dibuat berkaitannya.
Ambrin berkata, mesyuarat 24 Feb 2016 menyaksikan JAN perlu melakukan "perkara di luar kebiasaan, melangkaui amalan biasa".
Ditanya sama ada dia menyuarakan rasa tidak puas hati kepada PAC ketika siasatan terhadap perkara itu pada Disember 2018, dia berkata pendengaran tidak sempat dihabiskan memandangkan perkara itu telah dibawa ke mahkamah.
Di sebalik "perkara di luar kebiasaan" yang berlaku, Ambrin berkata dia akhirnya mengesahkan perubahan yang dibuat.
Shafee: Anda mungkin merungut kerana tambahan kerja tetapi tiada siapa yang acukan pistol di kepala anda dan kata anda perlu ubah (laporan).
Ambrin: Tiada siapa.
Shafee: Anda temui justifikasi untuk ubah?
Ambrin: Ya.
Sementara itu, Ambrin dalam keterangannya turut berkata tidak gembira dengan kenyataan Madinah Mohamad, yang menggantikannya sebagai ketua audit negara, bertarikh 25 Nov 2018.
Ketika itu, Madinah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Najib dan beberapa yang lain telah mengubah laporan audit 1MDB.
Madinah antara lain mendakwa ia dibuat selepas Ambrin dan Ali Hamsa dipanggil untuk bermesyuarat dengan Najib pada 22 Feb 2016 - dua hari selepas mesyuarat 24 Feb.
Ambrin juga berkata dia tidak dihubungi Madinah sebelum kenyataan itu dikeluarkan.
Ketika Shafee bertanya jika ada orang lain dari JAN menghubunginya berhubung perkata itu, Ambrin berkata dia dihubungi oleh timbalan Madinah berkenaan sama ada dia sanggup menjelaskan perkara itu kepada PAC dan kemudian melakukannya.
Ambrin juga berkata dia mempertahankan integriti laporan audit 1MDB oleh JAN dan menafikan bersubahat ekoran apa-apa dakwaan diberi tekanan.