Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: PRK Slim medan cari titik sepakat antara BN, PAS dan Bersatu

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada akhir bulan ini perlu dijadikan sebagai medan untuk mencari titik persamaan dan kesepakatan antara Barisan Nasional (BN), PAS serta Bersatu, kata Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kesepakatan BN menerusi UMNO bersama PAS dalam Muafakat Nasional terbukti menerusi beberapa PRK sebelum ini, manakala kerjasama dengan Bersatu sebagai gabungan dalam Perikatan Nasional telah diterjemahkan buat julung kalinya semasa PRK DUN Chini, bulan lepas.

"Ada hikmahnya PRK ini. Titik persamaan akan menjadi keutamaan atau kebersamaan untuk menentukan kerjasama selama ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera BN PRK Slim dan Penyerahan Bahagian Angkat di Dewan Felda Jaya, Trolak di Tanjung Malim, Perak hari ini.

Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO berkata PRK Slim tidak boleh dilihat dalam skop yang kecil, sebaliknya sebarang keputusan pada PRK itu 29 Ogos ini akan menjadi petunjuk sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga optimis calon BN yang akan diumumkan pada 12 Ogos ini bakal mempertahankan kerusi DUN Slim dengan adanya sokongan daripada pengundi PAS dan Bersatu yang sebelum ini menyokong wakil parti masing-masing semasa PRU14.

"(DUN) Slim ada 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM), semasa PRU14, enam kita kalah kerana ketika itu pertandingan tiga penjuru menentang PAS dan Bersatu. Tapi dengan kerjasama sekarang, kita (yakin) bukan setakat menang (PRK) tapi akan rampas semula enam PDM yang kita kalah," katanya.

Ahmad Zahid juga meminta kerajaan negeri dan Persekutuan supaya mengatasi serta menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi oleh penduduk di Slim bagi memastikan kepuasan hati para pengundi di DUN tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya tiada jentera atau kemudahan kerajaan yang digunakan sepanjang tempoh kempen PRK itu yang akan bermula selepas penamaan calon pada 15 Ogos ini bagi mengelak ia dijadikan isu oleh segelintir pihak.

"Saya nasihatkan….(anggota) jentera (pilihan raya) yang datang ...hormat budaya setempat, nilai tradisi yang bersopan santun. Kita mahu yakinkan pengundi Slim ...pembangunan akan terus berjalan," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Zahid berkata BN tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan PRU14 di DUN tersebut sebaliknya perlu berusaha untuk memastikan kerusi DUN Slim dapat dikekalkan selain berlapang dada menentang mana-mana calon sama ada daripada parti atau atas tiket Bebas.

PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas yang semasa PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS