Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis: Dipukul, kerja tanpa rehat antara isu dihadapi pengawal keselamatan Nepal

Bagi pengawal keselamatan Nepal, berdepan dengan risiko dipukul bukan satu-satunya kesukaran yang dihadapi ketika bekerja, menurut aktivis hak migran.

Antara lain mereka turut perlu melalui waktu kerja 12 jam sehari, kerja lebih masa tanpa bayaran, waktu buang air yang terhad dan dihalang daripada membuat laporan salah laku terhadap mereka.

Ia membangkitkan soalan jika wujud kaitan antara persekitaran kerja mereka dengan masalah kesihatan dan kadar kematian yang tinggi.

Pada 2016, dilaporkan sekurang-kurangnya 386 pekerja Nepal meninggal dunia di Malaysia. Pada 2018, kadar dilaporkan ialah 322 orang.

Kedutaan Nepal berkata salah guna alkohol dan pergaduhan menjadi faktor sebahagian besar kematian (198) pada 2018, diikuti dengan bunuh diri (43) dan penyakit seperti tiberculosis, hati dan denggi (39). Keadaan yang digelar pakar sebagai Sudden Unexpected Death Syndrome (Suds), dikatakan mempunyai kaitan dengan serangan jantung, turut dilaporkan sebagai punca kematian.

Menurut data terbaru daripada Laporan Migrasi Buruh oleh kerajaan Nepal, seramai satu perlima (20.6 peratus) daripada 382,651 tenaga kerja Nepal di Malaysia menjadi pengawal keselamatan pada 2018. Majoriti pula, iaitu 73.4 peratus, dalam sektor pembuatan.

Diterbitkan oleh Kementerian Buruh, Pekerjaan dan Keselamatan Sosial Nepal, laporan itu menyatakan Malaysia biasanya termasuk dalam lima destinasi popular untuk pekerja negara itu, bersama-sama Qatar, UAE, Arab Saudi dan Kuwait.

Menurutnya, penurunan mendadak pekerja Nepal pada 2018/2019 disebabkan pengambilan kerja hanya bersambung pada September 2019 setelah kedua-dua negara menyelesaikan isu teknikal dalam memorandum persefahaman dua hala.

Daripada 2008/2009 hingga 2018/2019, data menunjukkan pekerja Nepal yang kembali dari Malaysia membuat tuntutan kehilangan upaya (disability) tertinggi - 563 tuntutan. Qatar, UAE, Arab Saudi dan terutama Kuwait merekodkan tuntutan yang jauh lebih rendah.

Malaysia juga menjadi negara tertinggi untuk tuntutan pampasan daripada keluarga pekerja yang meninggal dunia, iaitu sebanyak 1,456 tuntutan dalam tempoh sama. Tiga sebab kematian tertinggi ialah henti jantung atau cardiac arrest (330), bunuh diri (240) dan "punca-punca semula jadi" yang tidak dinyatakan secara khusus (231).

Dipukul 'perkara biasa'

Menurut anggota Majlis Antipemerdagangan Manusia Selangor (Mapmas) Abdul Aziz Ismail, persekitaran kerja yang buruk boleh menyebabkan masalah kesihatan dan kematian di kalangan pekerja migran Nepal, terutama pengawal keselamatan.

Katanya, ia berpunca daripada persekitaran yang membolehkan syarikat keselamatan melakukan eksploitasi dan pelanggaran kontrak dan bebas daripada hukuman.

Daripada pengalaman berurusan dengan 30 kes melibatkan pengawal keselamatan warga asing, dia mendapati pengurusan langsung pengawal keselamatan selalunya dibuat oleh pihak ketiga menerusi subkontrak.

Katanya lagi, menjadi "perkara biasa" untuk penyelia pihak ketiga ini menggunakan serangan fizikal untuk menghalang pekerja daripada membangkitkan soalan, membuat laporan mahupun permintaan - seperti cuti atau bayaran untuk kerja lebih masa seperti yang dinyatakan dalam kontrak mereka.

"Ia secara tidak langsung memberikan (syarikat pihak ketiga) untuk menguruskan mengikut cara mereka, tanpa liabiliti kepada syarikat.

"Jadi syarikat sentiasa terlepas (daripada tindakan)," katanya lagi.

Adrian Pereira daripada NGO North-South Initiative dan Glorene Das daripada Tenaganita juga menyuarakan perkara sama.

"Video tular itu bukan video pengawal keselamatan Nepal dipukul yang pertama pernah kami lihat," kata Pereira.

Kerja lebih masa tanpa bayaran

Menurut Aziz, penyelia keberatan untuk membayar lebih kepada pekerja atau mengambil lebih ramai pekerja bagi memenuhi syif tugasan kerana ia akan meningkatkan kos.

Kerajaan Nepal menyenaraikan sejumlah syarat dalam kontrak standard untuk majikan Malaysia yang ingin mengambil pekerja warga mereka.

Mereka sepatutnya bekerja lapan jam sehari dan enam hari seminggu.

Pekerja diberikan sekurang-kurangnya lapan hari cuti tahunan, 14 hari cuti sakit dan 60 hari cuti setahun jika mereka dimasukkan ke hospital.

Berkongsi pengalamannya dengan Malaysiakini, bekas pengawal keselamatan Santosh Sapkota yang bekerja di Malaysia sejak 2016 hingga 2019 berkata dia sering bekerja 12 jam sehari selama sebulan, tanpa cuti.

Katanya, dia dipukul apabila meminta cuti sehari dan kemudian dimasukkan ke hospital apabila dipukul buat kali kedua, kerana dakwanya dia membuat laporan ke kedutaan Nepal berhubung insiden pertama itu.

Sapkota kini sedang membawa kesnya dengan kerajaan Nepal serta pihak kedutaan di Malaysia.

Sementara itu, dalam sebuah kajian yang diterbitkan Nepal Journal of Epidemiology tahun lalu, pekerja migran Nepal memberitahu para penyelidik bahawa tempoh kerja 16 jam sehari adalah "biasa".

"Migran Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sering mengadu yang mereka hanya boleh ke tandas dua kali sehari kerana majikan tiada pekerja ganti. Ia menyebabkan mereka kurang minum air," kata penyelidik dari Universiti Bournemouth.

Salah laku lain yang dilihat Aziz termasuk memaksa pekerja membayar untuk tempat tinggal mereka, walaupun kontrak menyatakan ia sepatutnya dibuat oleh pihak syarikat.

Katanya, pengawal keselamatan Nepal terpaksa menahan keadaan itu kerana mereka diancam risiko hilang dokumen perjalanan jika membuat sebarang bantahan.

Katanya lagi, ada juga syarikat atau penyelia pihak ketiga yang memegang pasport pekerja. Tanpa dokumen pengenalan diri, mereka tidak boleh membuat laporan polis.

"Mereka beri tekanan (kepada pekerja) untuk beri tanggapan bahawa anda tak boleh lari. Dan jika anda lapor kepada pihak berkuasa, permit (kerja) akan dibatalkan," kata Aziz.

Satu lagi sebab pekerja Nepal terpaksa menerima layanan seumpama itu adalah ramai yang terperangkap dengan hutang dan perlu menjelaskannya sebelum dapat menghantar wang ke kampung halaman.

Walaupun tidak disebut dalam kontrak, Aziz berkata pengawal keselamatan Nepal juga membayar "yuran pengambilan kerja" antara RM7,000 hingga RM9,000 kepada agensi untuk mendapat kerja di Malaysia.

Sementara itu, pendapatan mereka pula antara RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

Berhubung penggunaan penyelia pihak ketiga, aktivis berpengalaman itu percaya ia diamalkan secara meluas.

"Ini pengalaman saya, kebanyakan (syarikat keselamatan) sama saja. Jika syarikat yang agak besar boleh melakukannya, anda rasa syarikat kecil tiada masalah kewangan? Mereka lakukan perkara sama."

Aziz juga menyatakan tentang amalan syarikat yang mengambil pekerja asing melebihi keperluan mereka sebelum pihak ketiga menempatkan mereka ke sektor dan syarikat lain.

Pihak ketiga ini kemudian akan dibayar komisen terhadap setiap pekerja yang ditempatkan mereka.

Amalan ini biasanya berlaku dalam sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing menurut kuota tertentu, kata Aziz.

Kuatkuasa persekitaran lebih baik

Semua aktivis yang dihubungi Malaysiakini menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen terhadap syarikat yang melanggar kontrak dan melakukan pencabulan hak asasi terhadap pekerja asing.

"Kita perlu lebih peraturan dan pemeriksaan untuk memantau persekitaran kerja pengawal keselamatan...Malah tidak jelas bagaimana Jabatan Tenaga Kerja memeriksa dan memantau sektor seumpama ini...Jelas sektor ini perlukan pembaharuan," kata Pereira.

Pada 2018, Malaysiakini dan Centre for Investigative Journalism Nepal memperincikan rangkaian syarikat dan agensi kerajaan di kedua-dua negara yang secara salah mengumpul sejumlah RM185 juta daripada 600,000 orang antara September 2013 dan April 2018.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS