Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Siasat juga projek-projek runtuh di Terengganu 'Darul Runtuh'

ULASAN | Begitu tinggi usaha pihak tertentu daripada kerajaan Perikatan Nasional-PN untuk mendesak dan menghukum YB Lim Guan Eng, walaupun kes tersebut telah ditutup oleh SPRM, akhirnya beliau didakwa juga di mahkamah.

Agak luar biasa serta aneh kes projek yang dibuat melalui tawaran terbuka dan Pengerusi lembaga tawaran terdiri daripada penjawat awam yang bermula hampir 10 tahun dahulu yang ditutup kesnya selepas siasatan SPRM diberi asakan dasyat dan liputan besar secara meluas oleh kerajaan PN.

Adakah ini usaha kerajaan Melayu Islam PN untuk menuntut 'keadilan' ke atas 'salah laku' bekas Ketua Menteri daripada parti DAP yang pernah menerajui Pulau Pinang?

Bersama Umno dalam kerajaan PN adalah PAS sebuah parti yang mendakwa dirinya parti Islam yang selalu melaungkan nilai murni keadilan Islam di setiap kampung dan desa.

Untuk membuktikan nilai keadilan Islam yang kononnya dihajatkan, PAS hendaklah menuntut membuka kembali siasatan berbagai kes projek sakit dan runtuh terutamanya di negeri Terengganu yang diwarisi sekarang dari Umno.

Terengganu diberi nama jolokan memalukan - "Terengganu Darul Runtuh" kerana berbelas projek yang runtuh dan sakit semasa dan selepas siap pembinaan.

Di antaranya ialah tiga projek terkemuka yang bernilai hampir RM1 bilion iaitu Stadium bolasepak Gong Badak, Taman Ilmu Besut dan Kompleks Bebas Cukai Kenyir.

Setelah siasatan runtuhan bumbung stadium RM300 juta dibuat, anehnya tiada sesiapa didapati bersalah walaupun selain daripada runtuhan dua buah generator serta kabel dan peralatan elektrik bernilai berjuta ringgit juga hilang dicuri.

Taman Ilmu bernilai RM350 juta terbengkalai menjadi projek sakit, bangunan pentadbirannya terpaksa dirobohkan dan kabel serta peralatan elektriknya juga dicuri dengan kerugian puluhan juta ringgit. Selepas hampir 20 tahun ia masih belum dibuka.

Pusat Bebas Cukai Kenyir bernilai hampir RM300 juta terbengkalai dan masih belum dapat digunakan selepas 10 tahun.

Demi keadilan, kerajaan Melayu Islam-PN Terengganu yang diterajui PAS, Menteri Besar mesti mendesak SPR menyiasat ke akar umbi kenapa wang duit rakyat Terengganu yang terdiri 95 peratus orang Melayu Islam dibiarkan, dibazir dan diselewengkan begitu sahaja.

Raja Petra Kamaruddin yang tinggal di England telah berjaya memainkan peranan utama mendesak Lim Guan Eng didakwa kes Terowong Bawah Laut Pulau Pinang selepas 10 tahun.

Raja Idris Kamaruddin, adik kepada Raja Petra, yang menjadi orang kepercayaan Menteri Besar Terengganu yang dilantik menerajui GLC penting, sepatutnya memainkan peranan sama mendesak kerajaan Terengganu dan SPR menyiasat mengapa begitu banyak projek runtuh, tidak siap dan sakit.

Berbeza daripada projek terowong Pulau Pinang, Projek Taman Ilmu Terengganu melibatkan berbagai kes saman di mahkamah oleh kontraktor Korea dan kontraktor tempatan ke atas kerajaan negeri, termasuk pegawai-pegawai Kerajaan dan juga syarikat berkait dengan Umno melibatkan puluhan juta.

Kes ini dipercayai berbau skandal yang besar melibatkan kerajaan dan pegawai tertinggi. Menteri Besar mesti bertindak.

Tiada gunanya kepakaran Raja Idris Kamaruddin yang berasal dari Selangor dan beberapa lagi rakan dari luar negeri Terengganu seperti Nurul Islam, Zaidi Talib dan W.Haswari memegang jawatan mendahului peluang kerja anak Terengganu kalau mereka tidak memainkan peranan berkesan menasihati Menteri Besar dengan baik.

Ramai rakyat anak Terengganu menyoal peranan mereka. Ada juga yang bertanya adakah Raja Idris masih memegang pasport British seperti abangnya? Raja Petra mempunyai "kekebalan" melempar berbagai tuduhan tidak bertanggungjawab dari England jauh dari tindakan undang-undang Malaysia.

Islam menutut keadilan

Kalau Lim Guan Eng atas kes Terowong yang belum pun bermula lagi boleh didakwa selepas 10 tahun, projek-projek Terengganu yang sudah pun berjalan, runtuh, terbengkalai dengan berbagai kes saman melibatkan warga asing, kontraktor tempatan dan pegawai kerajaan, patut diberi perhatian utama dan tindakan oleh Menteri Besar Terengganu.

Malangnya Terengganu terkenal sebagai negeri mempunyai projek yang "berlaku jenayah tanpa penjenayah"- "crime without criminals".

Atau adakah kerajaan PN mengamalkan pengadilan cara terpilih - selective prosecution? Adakah kerana kes Pulau Pinang melibatkan DAP dan bukan Islam ia diasak habis- habisan?

Adakah kes-kes di Terengganu melibatkan pihak Melayu-Islam jadi tiada minat untuk menuntut keadilan walaupun melibatkan ratusan juta ringgit duit rakyat Terengganu ?

Adakah kerajaan Melayu Islam PN berhasrat mengamalkan tuntutan murni agama Islam sebenarnya ?

Ingatlah contoh Nabi Muhammad Rasulullah saw yang menuntut supaya sebaik-baik keadilan diberi kepada seorang Yahudi yang mencuri barang kepunyaannya.

Islam menuntut keadilan untuk semua dengan tidak mengira agama atau bangsa. Itulah kerajaan Islam sebenarnya.


RAJA BAHRIN SHAH adalah bekas anggota parlimen Kuala Terengganu merangkap pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS