Sekiranya Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mahu menumbuk muka individu yang mengata Dr Mahathir Mohamad, maka dia terlebih dahulu harus mempertimbangkan untuk menumbuk mukanya sendiri.
Demikian kata Ketua Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari mengulas kenyataan Ahmad Faizal semalam yang mahu mempertahankan bekas perdana menteri itu dan anaknya, Mukhriz daripada dihina.
"MB Perak ni lawak. Mungkin dia patut tumbuk mukanya sendiri, kerana dialah yang telah menikam orang tua itu dan anaknya Mukhriz dengan lari untuk menyokong Muhyiddin.
"Apa yang telah dilakukan oleh Faizal Azumu adalah lebih serius daripada mengata orang tua itu dan anaknya," kata Aziz kepada Malaysiakini hari ini.
Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi merujuk tindakan Ahmad Faizal yang beralih sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baru dengan Perikatan Nasional (PH).
Ahmad Faizal semalam berkata, semua anggota Bersatu mesti memberikan "100 peratus" sokongan mereka kepada presiden parti, Muhyiddin Yassin, di samping menunjukkan rasa hormat kepada Mahathir dan Mukhriz.
"Kalau ada orang mengata Dr Mahathir, kalau kata orang kata bukan-bukan kepada Mukhriz, saya tumbuk.
"Saya ini panglima dia. Siapa cakap tak baik tentang dia saya tumbuk, gaduh pun gaduhlah, serius," kata Ahmad Faizal mengulas pengumuman Mahathir untuk menubuhkan parti baru.
Aziz berkata, Ahmad Faizal sepatutnya menyelesaikan masalah dalam partinya di Perak.
"Dia lebih baik menyelesaikan masalahnya sekarang ini kerana Umno di Perak menyuruhnya membubarkan Bersatu," kata Aziz.
Ahmad Faizal memimpin kerajaan negeri di Perak dengan Bersatu hanya lima kerusi Dun manakala Umno memiliki 24 kerusi Dun.