Dr Mahathir Mohamad akan menubuhkan satu lagi parti yang "akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi" sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.
"Untuk kami teruskan perjuangan asal kami, terpaksalah kami bebas diri atau menjadi ahli parti yang baru.
"Ini kerana parti-parti berasas kepada Melayu dan peribumi yan wujud hari ini telah menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Al-Bukhary hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau parti baru yang belum dinamakan itu tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran "iaitu tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak juga dengan Perikatan Nasional."
"Apabila kami bertanding (pada pilihan raya akan datang) kami mungkin akan adakan perjanjian dengan parti-parti, mungkin juga tidak. Tetapi selepas pilihan raya, kami boleh menyertai sesuatu gabungan atau lainnya.
"Kami bebas, kami boleh buat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti yang kami fikir akan membawa matlamat penubuhan (parti) kami," katanya.
Beliau memberikan jawapan serupa ketika ditanya jika beliau akan membentuk blok ketiga bersama dengan Warisan.
Ditanya mengapa beliau tidak menyesuaikan kekuatan barunya bersama bekas rakan-rakan dalam PH, Mahathir menyebut terdapat "masalah" dengan PKR.
"Kami ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan, tetapi kami ada beberapa masalah dengan parti terbesar PH. Saya tidak mahu menyebutkannya, tetapi saya rasa anda semua tahu, ”katanya.
"Kami tidak berpecah daripada siapa pun, kami bebas daripada semua orang," tambah Mahathir ketika ditanya sekiranya beliau berpecah dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Menjelaskan lanjut mengenai asas perjuangan parti baru itu, Dr Mahathir berkata matlamatnya masih bertujuan "menghapus rasuah dan kleptokrasi" dan menegaskan perjuangan wadah politik baru itu "berasas semangat, bukan duit."
"Ahli hendaklah pegang kepada perjuangan ini.
"Tidak ada jaminan bagi sesiapa untuk jawatan tertentu dalam parti atau dalam kerajaan," katanya.
'Jadi berani, daftarkan kami'
Ahli parlimen Langkawi juga meramalkan parti barunya akan menghadapi "masalah" dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang pernah dialami Bersatu dan Pakatan Harapan sebelum PRU14.
Dr Mahathir mencabar Perikatan Nasional untuk membuktikan sebaliknya bahawa gabungan itu tidak takut kepada parti baru itu.
"Kami jangka akan ada masalah dengan pendaftaran, (tapi) kami berharap kerajaan cukup berani mendaftarkan kami," katanya.
Parti baru itu buat sementara waktu akan diterajui oleh Mahathir sebagai pengerusinya dan anaknya Mukhriz Mahathir sebagai presiden.
Turut kelihatan pada sidang media hari ini ialah bekas pemimpin Bersatu, Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak hadir dan dikatakan sedang berada di Johor untuk meraikan majlis persaraan ibunya.
Walaupun keahlian untuk bukan Melayu masih belum diputuskan lagi, Dr Mahathir menjelaskan parti itu akan menjaga kepentingan semua kaum di Malaysia.
"Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat dan akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang kepada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip.
"Parti ini juga bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sifat khianat, menipu, membohong, rasuah dan tamak akibat perbuatan pemimpin parti-parti Melayu yang lain," katanya.