Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Latihan persediaan pilihan raya rutin, bukan petunjuk PRU15 makin hampir’

Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom menafikan pekeliling yang diedarkan meminta guru dan sekolah untuk mempersiapkan diri adalah petunjuk bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan diadakan toiidak lama lagi.

"Ini amalan lazim buat SPR untuk memastikan ada cukup kakitangan untuk bertindak sebagai pegawai pilihan raya sekiranya diperlukan.

"Ini juga satu kebiasaan untuk melatih calon pegawai pilihan raya dan SPR harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada Malaysiakini.

Azmi, kini memangku jawatan pengerusi SPR buat sementara waktu berikutan peletakan jawatan Azhar Harun yang dilantik menjadi Speake Dwan Rakyat.

Hari ini tular surat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Negeri Perak yang mempelawa kakitangan yang berminat untuk bertugas di pusat pembuangan undi.

Surat yang dilihat oleh Malaysiakini itu menyatakan SPR menawarkan beberapa jawatan kepada semua kakitangan sekolah daerah Larut Matang dan Selama.

“Sukacita dimaklumkan Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak sedang membuat persedian awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Justeru Majlis Perbandaran Taiping ingin memperlawa kakitangan tuan/puan untuk bertugas di tempat-tempat mengundi bagi kawasan Parlimen Taiping P060 yang meliputi Dewan Undangan Negeri Kamunting (N16), Pokok Assam (N17) dan Aulong (N18)”, memetik kenyataan surat tersebut.

Antara jawatan yang ditawarkan ialah Penyelia Pusat Mengundi, Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian/ Mengira Undi, Kerani Penyemak Daftar Pemilih dan Pemandu Arah Pusat Mengundi.

Surat itu bertarikh 6 Ogos.

Sementara itu, Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor juga dimaklumkan telah mengeluarkan surat bertarikh 23 Julai bagi menjemput mereka yang berkenaan menghadiri taklimat pegawai pengurus PRU15 dan pengundian pos peringkat negeri itu.

Taklimat tersebut dijangka diadakan pada 11 dan 12 Ogos di Subang Jaya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata meskipun latihan persediaan PRU diadakan namun ia tidak bermaksud bahawa pilihan raya akan berlangsung dalam masa terdekat.

"Berkenaan dengan pilihan raya yang sebenar, SPR hanya dapat bertindak ketika diberitahu tentang kekosongan kerusi atau pembubaran dewan," kata Azmi.

Sumber lain SPR yang enggan namanya didedahkan juga berkata bahawa ini adalah amalan biasa dan tidak boleh dianggap sebagai petunjuk bahawa pilihan raya bakal berlangsung.

"Ini hanya persiapan SPR untuk menghadapi pilihan raya. Kami tidak tahu apakah akan ada, jadi kami bersiap-siap untuk berjaga-jaga."

"Latihan persediaan pilihan raya dilakukan di seluruh negara dan kami melakukannya secara berperingkat di setiap negeri," kata sumber yang menambahkan bahawa latihan itu akan memakan masa beberapa bulan kerana seluruh negara perlu dipersiapkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS