Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwa mahu pinda dokumen saman lucut hak berkaitan 1MDB

Pihak pendakwaan memohon untuk meminda kesalahan tipografi dalam dua afidavit bagi menyokong saman pelucutan hak RM31 juta yang dikaitkan dengan 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan 17 yang lain.

DPP Faten Hadni Khairuddin hari ini berkata, pindaan itu berkaitan dengan afidavit oleh Asisten Komisioner (ACP) R Rajagopal dan Superintendan Foo Wei Min. 

Rajagopal merupakan pegawai penyiasat (IO) bagi tuduhan pecah amanah (CBT), manakala Foo merupakan IO bagi tuduhan pengubahan wang haram. 

Kedua-dua kes itu dikaitkan dengan wang 1MDB dan barangan yang dirampas daripada Najib dan 17 yang lain.

“Pemohon (pihak pendakwaan) mengemukakan pindaan pada dua afidavit tersebut kerana kesalahan tipografi.

"Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Ogos untuk pengurusan kes agar dikemaskini sama ada (18) responden akan mengemukakan bantahan (terhadap pindaan itu)," kata Faten kepada pihak media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pengurusan kes di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, dilaporkan bahawa perbicaraan saman pelucutan hak terhadap Najib dan 17 yang lain ditetapkan pada 24 Ogos di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Peguam, Nur Syahirah Hanapiah hari ini mewakili Najib, yang merupakan responden pertama dalam kes itu.

Pada 9 Mei tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor mengemukakan saman pelucutan hak berkaitan 1MDB terhadap Najib dan 17 responden lain, yang terdiri daripada individu dan syarikat.

Tindakan undang-undang tersebut berhubung ratusan barangan, termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan, yang dirampas daripada 18 responden terbabit.

Najib dinamakan sebagai responden pertama, diikuti oleh isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Aziz, anaknya Nor Ashman Razak, dan anak perempuannya Nooryana Najwa, sebagai responden kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Responden lain ialah Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman ​​Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu ahli perniagaan, Low Taek Jho), bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, peguam Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Kee, Tan dan Geh didakwa merupakan rakan sekutu Low Taek Jho atau Jho Low, yang merupakan individu penting dalam kes 1MDB.

Antara barang berharga yang dirampas pada 17 Mei 2018 dan pada 11 Jun 2018 ialah 52 beg tangan berjenama, 10 jam tangan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang - RM187,750 dalam nota lama, RM21,150 dalam nota baru, £ 320,500 dalam nota lama, £ 2.700 dalam nota baru, US$ 100, €20, S$ 40, 2,870,000 rupiah Sri Lanka, 13,177,00 rupiah, 376 hryvnies, 50 franc, 10 rand, 531 riyal, dan 740 peso Filipina.

Juga dirampas pada hari yang sama ialah empat jam tangan berjenama, 171 beg tangan berjenama dan 27 pasang kasut mahal, manakala 40 beg tangan mewah dirampas pada 11 Jun 2018.

Sementara itu, 27 kenderaan Nissan Urvan disita pada 2 Ogos 2018.

Di samping itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun di bank berbeza, iaitu Bank Islam, Bank Al-Rajhi, Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Public Bank, AmBank dan Hong Leong Bank, telah dibekukan antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Turut disita adalah hartanah di Tanjong Bungah milik responden ke-13, pada 17 Jan tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS