Amnesty International Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kadar kematian dalam tahanan di Malaysia pada tahun ini dan menggesa kerajaan menyiasat setiap kes tersebut.
"Kematian-kematian ini membimbangkan, tetapi tanpa penyiasatan bermakna daripada kerajaan, ia malangnya tidak mengejutkan," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Maliamauv dalam kenyataan.
Dia mengulas jawapan Parlimen oleh Kementerian Dalam Negeri yang antara lain memaklumkan Sebanyak 23 kematian, termasuk dua kanak-kanak dilaporkan di pusat tahanan imigresen antara Januari dan Jun tahun ini.
Kadar itu meningkat berbanding antara 2016 hingga September 2019, di mana sebanyak 151 kematian dilaporkan di pusat tahanan Imigresen.
"Setiap kematian di pusat tahanan patut membangkitkan kerisauan yang membawa kepada penyiasatan yang telus dan terbuka. Kita tahu seramai 151 orang mati antara 2016 hingga September 2019, akan tetapi tiada penyiasatan yang bermakna dan terperinci terhadapnya.
"Apa yang kita lihat adalah siasatan terhadap pemberi maklumat, wartawan dan mereka yang melaporkan tentang pencabulan hak asasi terhadap migran dan dalam pusat tahanan," dakwanya.
Menurut pertubuhan itu lagi, kurangnya maklumat berkenaan punca kematian kes-kes tersebut serta statistik berkenaan kematian dalam tahanan Imigresen yang tidak tekal juga membimbangkan.
Angka yang dinyatakan Kementerian Dalam Negeri itu menunjukkan peningkatan dalam kadar kematian dalam tahanan Imigresen, iaitu daripada purata 3.3 kematian setiap bulan antara 2016 hingga September 2019 kepada 3.8 kematian setiap bulan tahun ini.
Menurut kementerian itu, kematian melibatkan 10 adalah warga Indonesia, Bangladesh (2), Kemboja (2), Kenya (2), Myanmar (1), Nepal (1), Pakistan (1), Vietnam (1), dan Kanada (1).
Statistik ini tidak termasuk Zeawdeen Kadar Masdar, pelancong dari India berusia 67 tahun yang terkandas dan meninggal dunia akibat Covid-19 ketika berada dalam tahanan imigresen.
Lima dari 23 kematian berlaku di depoh imigresen Semenyih; tiga di Langkap, Lenggeng dan Pekan Nenas; masing-masing dua di Juru, KLIA, dan Bukit Jalil; dan masing-masing satu di Ajil, dan Machap Umboo.
Sementara itu, tiga orang mati dalam lokap polis, dan 188 kematian dilaporkan di penjara dalam tempoh yang sama, iaitu dari Januari hingga Jun 2020.