Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan tiga pihak lagi untuk membatalkan saman oleh Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain.
Ia berkaitan saman yang difailkan Mahathir dan empat plaintif atas tuduhan pemecatan mereka yang salah.
Empat plaintif tersebut ialah Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahya, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.
Hakim Rohani Ismail hari ini berkata, plaintif tiada locus standi untuk memfailkan saman itu atas dasar penyingkiran mereka daripada parti telah disahkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 Jun.
Dia juga berkata Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan sebarang keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah.
Hakim turut mengarahkan plaintif membayar RM10,000 sebagai kos untuk setiap permohonan, menjadikan jumlahnya RM30,000.
Peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata dia akan menasihati anak guamnya bahawa tiada asas untuk memohon keputusan mahkamah ini.
"Tentulah ia bergantung kepada pemeriksaan seterusnya ke atas keputusan.
"Tetapi sama ada rayuan akan dibuat atau tidak akan ditentukan oleh plaintif selepas pertimbangan terhadap perkembangan politik.
"Jadi setakat ini saya tak boleh nak sahkan sama ada rayuan akan difailkan," katanya.