Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Meskipun wabak Covid-19 masih lagi berleluasa, ekonomi Malaysia benar-benar berada dalam keadaan baik dengan beberapa berita gembira yang telah dicatatkan sejak kebelakangan ini. Yang pertama dalam senarai adalah, eksport Malaysia kembali mencatat kenaikan sebanyak 8.8% kepada RM82.9 bilion pada Jun berbanding kemerosotan 25.5% pada Mei.

Seterusnya, lebihan perdagangan negara kita meningkat sebanyak 98.7% kepada RM20.9 bilion pada Jun – yang terbesar pernah dicatatkan setakat ini. Menurut Jabatan Perangkaan, lebihan perdagangan terbesar sebelum ini dicatat pada Oktober 2019 dengan nilai RM17.3 bilion.

Seterusnya, terdapat tanda-tanda pemulihan yang cepat di Malaysia dengan adanya peningkatan aktiviti perkilangan, di mana sektor pembuatan Malaysia terus menunjukkan prestasi menakjubkan yang telah melangkaui jangkaan pada Julai lalu, lantas satu petunjuk negara kita mungkin berupaya mengalami pemulihan berbentuk V setelah diserang pandemik Covid-19.

Menurut IHS Markit Malaysia, Indeks Pengurus Belian Pembuatan (PMI) Malaysia mencatatkan skor 50.0 untuk Julai, mengatasi jangkaan anggaran 49.0. Skor PMI di bawah 50 menunjukkan penguncupan sementara skor di atas 50 menandakan perkembangan.

Bagi mempercepat proses pemulihan, mungkin sudah tiba waktunya untuk kita segera fokus mempromosikan penyertaan digital.

Lebih-lebih lagi, sedang kita menuju ke arah Malaysia 5.0 – satu pendekatan penyelesaian masalah terhadap cabaran dan masalah masyarakat melalui penyebaran dan pelaksanaan teknologi Revolusi Industri Keempat (4IR), ia sangat penting kita memastikan penyertaan digital oleh semua pihak, sehingga semua individu mempunyai peluang yang sama rata untuk turut serta dalam merealisasikan misi ini.

Teknologi digital dapat menyokong penyertaan ekonomi dengan memecahkan halangan maklumat, memperluas akses dan menurunkan tahap kemahiran yang diperlukan untuk turut serta dalam kegiatan ekonomi, lantas mewujudkan ekonomi digital inklusif.

Apabila orang ramai dapat mengakses dan menggunakan teknologi dengan sangat berkesan untuk menyertai masyarakat moden, hasilnya ialah pencapaian ekuiti digital. Dari sudut perspektif ini, penyertaan digital menunjukkan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi memperbaiki kekurangan dalam ekuiti digital.

Manakala jurang dan celik digital adalah dua perkara yang sering dibincangkan di kalangan pembuat dasar, penyertaan digital adalah satu kategori yang lebih luas merangkumi pendekatan praktikal yang berasaskan dasar, di mana jurang keperluan digital setiap individu dapat dirapatkan dan diatasi secara menyeluruh.

3 elemen penyertaan digital

Secara amnya, penyertaan digital mengandungi tiga elemen penting:

• Akses – ketersediaan, kualiti, kapasiti dan fleksibiliti sambungan internet, perkakasan dan peruntukan data yang mencukupi;

• Kemampuan – kemahiran yang diperlukan dan keselamatan pengguna untuk menggunakan teknologi dan mengakses internet; dan

• Kebolehan – sikap serta kemahiran untuk menggunakan teknologi dalam talian dengan yakin melalui pelbagai cara

Elemen-elemen tersebut akan membawa kepada tujuan utama mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif secara digital di mana setiap orang mempunyai akses kepada kemahiran, pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk memperkasakan kehidupan mereka melalui teknologi digital.

Selain itu, penyertaan digital juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menerima perkhidmatan dan barang keperluan seperti pendidikan, pekerjaan, perdagangan dan interaksi sosial melalui platform internet.

Namun, bagi mereka yang terpencil dari dunia digital, bukan sahaja mereka sukar mendapatkan perkhidmatan, makanan atau sokongan perubatan, mereka juga meletakkan diri mereka dalam risiko dan bahaya lebih besar kerana terpaksa keluar rumah untuk mencari barang keperluan harian.

Pada masa yang sama, individu-individu yang terpencil dari dunia digital juga terancam dengan 'pengangguran teknologi', kerana mereka mungkin tidak tahu menggunakan teknologi bagi tujuan mencari pekerjaan, memandangkan internet kini menjadi alat yang semakin meluas untuk mencari pekerjaan serta platform untuk pengambilan pekerja yang kemudian akan meningkatkan kadar pengangguran.

Ini sejajar hasil kaji selidik EMIR Research untuk suku pertama tahun ini (1Q20) mengenai Indeks Kebimbangan Nasional (NWI) kerana skor NWI Malaysia berada pada 0.78 – menandakan kebimbangan rakyat di tahap yang maksimum, di mana masalah pengangguran adalah salah satu kebimbangan utama rakyat Malaysia.

Dari segi pendidikan, penyertaan digital mungkin dapat menyelesaikan masalah di Sabah, di mana kira-kira 52 peratus pelajar tidak memiliki akses kepada internet, telefon pintar, komputer atau alat mudah alih yang diperlukan bagi tujuan pembelajaran dalam talian semasa PKP berlangsung.

Hari Penyertaan Digital

Ini akan meruncingkan lagi ketaksamaan dalam masyarakat kita. Malah, perkara ini telah dibangkitkan oleh beberapa peserta dalam perbincangan kumpulan fokus EMIR Research untuk kaji selidik suku tahun berikutnya.

Apa yang lebih mengejutkan, hasil penyelidikan menunjukkan ketiadaan akses internet bukan saja faktor penghalang penyertaan digital, bahkan sikap individu itu sendiri adalah faktor penentu juga kerana merasakan penggunaan internet tiada faedahnya, takut akan jenayah dalam talian, kurang kepercayaan dan bahkan tidak tahu bagaimana dan di mana untuk memulakan aktiviti dalam talian.

Jadi, apakah cara untuk kita mempromosikan penyertaan digital?

Ia boleh dipromosikan dengan pelbagai cara; misalnya, institusi kerajaan seperti sekolah dan perpustakaan harus memastikan semua orang dapat mengakses teknologi digital, termasuk perkakasan, perisian dan internet berkelajuan tinggi.

Kerajaan juga boleh meningkatkan perbelanjaan menyediakan program latihan dan bengkel praktikal mengenai kecelikan digital sehingga semua orang dapat memahami, belajar dan menggunakan teknologi.

Bagi kerajaan tempatan, "Hari Penyertaan Digital" tahunan boleh dilaksanakan sebagai salah satu cara untuk menuju ke arah komuniti yang terlibat secara digital di mana masyarakat dapat dimaklumkan dengan projek teknologi terkini sambil mewujudkan sekitaran yang menyeronokkan untuk berinteraksi dengan mereka.

Akhir sekali, organisasi yang berkaitan perlu menyediakan satu kurikulum yang mengajar keselamatan pengguna dalam talian untuk melindungi privasi dan maklumat peribadi mereka agar sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman siber ketika menggunakan terknologi tersebut.


JAMARI MOHTAR dan AFIFAH SUHAIMI merupakan anggota pasukan penyelidik EMIR Research, organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS