Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng akan didakwa di mahkamah esok, Isnin dan Selasa

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, akan dikenakan tiga pertuduhan di mahkamah, masing-masing pada esok, Isnin dan Selasa ini.

Hal itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui kenyataan media malam ini.

Terdahulu bekas Menteri Kewangan itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebentar tadi untuk memberi keterangan mengenai projek terowong bawah laut benrilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang. 

Bercakap kepada Malaysiakini, Lim berkata, tidak ada sebab bagi SPRM memanggilnya pada waktu malam.

"Tidak ada sebab mengapa SPRM harus menghubungi saya pada waktu ini. Mereka boleh mengatur waktu lain dan saya bersedia menemui mereka," katanya.

SPRM pula berkata mereka sudah mendapat izin daripada peguam negara untuk mendakwa Lim.

Esok, kata agensi antirasuah itu Lim akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dipanggil dua kali

Pada 10 Ogos pula bekas Lim akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Kedua-dua pertuduhan itu adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang," kata SPRM.

Selain itu SPRM turut mendapat izin mendakwa daripada Lim di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 11 Ogos ini, juga mengikut seksyen 23 akta sama.

Menurut SPRM pertuduhan ketiga itu membabitkan kes berlainan. Bagaimanapun agensi terbabit tidak memberikan penjelasan lanjut.

Lim akan bermalam di ibu pejabat agensi antirasuah itu sebelum dibawa ke mahkamah pagi esok.

Sebelum ini SPRM memanggil Lim sebanyak dua kali masing-masing pada 22 dan 25 Julai lalu.

Selain Lim, SPRM juga menemu bual Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dan bekas exco negeri itu, Dr Afif Bahardin, bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut berkenaan.

SPRM turut menahan reman - selama empat hari - bekas ketua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew pada 1 Julai lalu untuk membantu siasatan.

Untuk rekod pada Sept 2018 Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim daripada dua pertuduhan rasuah berkaitan pengubahan status tanah serta pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Namun semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat, SPRM bebas untuk membuka semula siasatan isu berkenaan jika menerima bukti baru.

"SPRM adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat fresh evidence (bukti baru) di dalam kes tersebut," katanya sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Takiyuddin berkata, peguam negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tommy Thomas, pada awalnya memohon mahkamah untuk melepas tanpa membebasan Lim.

"Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak peguam negara terdapat new lead (petunjuk baru), mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh.

"Selepas itu peguam negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS