Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Jika keadaan mengizinkan Amanah bercadang mahu melakar sejarah tersendiri di Sabah dengan menghantar wakilnya ke dewan undangan negeri (DUN) melalui pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata parti itu mahu melakukan hal demikian ketika PAS - yang mempunyai sejarah menyertai PRN Sabah berkali-kali sebelum ini - gagal memenangi sebarang kerusi.

Bagaimanapun katanya, soal calon dan kerusi yang bakal ditandingi kelak akan diperhalusi oleh Amanah Sabah.

"Memang Amanah berhasrat untuk terlibat dalam PRN Sabah. Kami semenangnya hendak bertanding.

"Amanah mahu capai apa yang PAS tak pernah capai, iaitu memenangi kerusi sulung di Sabah," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini hari ini.

Pada 29 Jul lalu, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN negeri berkenaan bagi membuka laluan kepada PRN diadakan.

Pembubaran DUN dibuat selepas mendapat perkenanan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin ketika Adun tunggal Umno di negeri itu, Musa Aman, menggerakkan cubaan menjatuhkan kerajaan Warisan.

Musa - yang baru-baru ini dilepas dan dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram - mendakwa mendapat sokongan majoriti daripada Adun lain.

Hari ini jurucakap Istana Negeri Sabah menafikan Juhar ada menerima 33 akuan bersumpan daripada Adun negeri itu yang menyokong Musa sebelum pembubaran DUN diperkenankan.

Jurucakap Istana Negeri juga mengesahkan tidak pernah menerima permintaan - rasmi atau tidak rasmi - daripada pihak Musa untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar. 

Khalid berkata dalam PRN nanti cadangan untuk menggunakan logo Warisan sebagai lambang tunggal Pakatan Harapan (PH) juga sedang diteliti kepemimpinan parti.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, perkara berkenaan akan diputuskan selepas berbincang dengan rakan sekutu mereka di Sabah.

Dia mengakui agak sukar untuk Amanah memperkanalkan logo parti itu di Sabah dalam tempoh terdekat ini.

"Dalam suasana baru mungkin agak sukar untuk perkenal lambang Amanah. Untuk menggunakan lambang Warisan tiada bantahan.

"Cuma kita berharap agar Amanah dibenarkan terlibat dalam PRN. Sambutan terhadap Amanah di Sabah juga meingkat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS