Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pergaduhan 2 geng penarik kereta: Polis buru 4 lagi suspek

Polis sedang memburu empat suspek daripada kumpulan penarik kereta dikenali sebagai ‘Geng Fuad’ yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan penarik kereta ‘Geng Khairul’ pada 30 Julai lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhamad Piah berkata setakat ini polis telah menahan 19 individu berusia antara 18 hingga 37 tahun di Kelantan dan Kedah bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Jalan Enggang di Kota Bharu itu yang menyebabkan seorang ahli Geng Fuad cedera parah.

Beliau berkata serangan yang turut menggunakan pedang samurai itu berlaku rentetan kejadian pertama apabila Geng Fuad dikatakan mengambil sebuah kereta dipercayai milik teman wanita seorang ahli Geng Khairul pada 28 Julai lepas di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu.

Katanya, dalam kejadian pukul 4 pagi itu seramai 16 ahli Geng Fuad dengan menaiki tiga buah kereta telah memecahkan cermin dan membakar kenderaan selain melarikan tiga buah motosikal di rumah berkenaan.

"Ketika kejadian ada enam individu termasuk dua wanita di rumah itu dan berdasarkan maklumat, kesemua penyerang memakai penutup muka dan membawa senjata tajam selain dikatakan membawa objek seakan pistol," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Abdullah berkata kejadian itu menyebabkan Geng Khairul membalas dendam terhadap Geng Fuad dan menyerang sebuah rumah di Padang Enggang pada 9.35 pagi, 30 Julai lepas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436, 427, 379A, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, khianat dengan api, mencuri kenderaan, menyebabkan kecederaan parah dan memiliki senjata dalam rusuhan,” katanya.

Katanya kesemua ahli Geng Khairul yang terlibat dipercayai sudah ditangkap manakala saki baki Geng Fuad masih diburu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS