Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan PN perlu naikkan garis kemiskinan, desak MP Klang

Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu meningkatkan pendapatan garis kemiskinan (PLI) kerana kadar 2019 yang baru diumumkan - sebanyak RM2,208 - sebagai tidak masuk akal.

Menurutnya, ketika ini ramai orang terjejas atau kehilangan pekerjaan kerana isu wabak Covid-19.

Kata Charles, panduan PLI 2019 itu dibahagikan kepada kos perbelanjaan makanan dan bukan makanan iaitu masing-masing RM1,038 dan RM1,170.

Katanya ia tidak mencukupi untuk perbelanjaan kos sara hidup di bandar.

Malah, katanya anggaran panduan perbelanjaan tersebut berbeza dengan yang dikeluarkan oleh Belanjawanku 2019 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disifatkan sebagai komprehensif untuk golongan bandar.

Kadar yang digariskan KWSP, kata Charles, ialah RM2,490 untuk dewasa bujang, pasangan tanpa anak sebanyak RM4,420, pasangan dengan dua orang anak RM6,620 dan pasangan berumur RM3,089.

"Tidakkah ironi apabila kajian Belanjawaku dan kajian PLI kerajaan yang dilakukan pada tahun yang sama menunjukkan perbezaan data yang sangat ketara semasa menganggarkan kos sara hidup?

“Langkah meletakkan PLI pada jumlah yang rendah adalah untuk menunjukkan kejayaan kerajaan mengatasi kemiskinan.

“Isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah tahap PLI dianggap miskin. Tetapi kita sekarang tahu bahawa PLI sebanyak RM2,208 adalah sangat mengarut,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Oleh itu, Charles berkata Malaysia perlu meletakkan penanda aras PLI yang lebih tinggi memandangkan Malaysia merupakan negara berpendapatan menengah atas.

Secara tidak langsung, katanya, langkah tersebut dapat memberi gambaran sebenar keadaan negara dan mengenal pasti isi rumah yang miskin.

Jika tidak, katanya, negara akan dibelenggu dengan masalah kemiskinan yang serius.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS