Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pelajar belum diwajibkan pakai pelitup muka kerana akan bebankan keluarga miskin'

Kerajaan belum mewajibkan pelajar sekolah memakai pelitup muka pada waktu persekolahan memandangkan ia akan memberi beban kewangan bagi mereka yang tidak mampu, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ini juga kerana sekolah-sekolah berada di bawah pemantauan ketat terhadap garis panduan penjagaan kesihatan untuk mencegah penyebaran wabak Covid-19.

"Memang penggunaan pelitup muka untuk pelajar sekolah tidak diwajibkan kerana amalan penjarakan sosial diamalkan di sekolah dengan SOP yang ketat. Namun digalakkan (untuk memakainya).

"Bukan tidak akan (wajibkan). Belum lagi. Kementeriak Kesihatan sedang mengkaji mask yang boleh dicuci untuk kegunaan pelajar.

Mask berharga lebih RM1 sehari akan membebankan keluarga miskin," katanya dalam pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Ismail, yang merupakan Menteri Kanan yang bertanggung jawab atas kluster keselamatan, berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan mengenai isu garis panduan pelitup muka setelah kerajaan mewajibkan orang ramai memakainya mulai bulan ini.

Menteri Pendidikan, Radzi Jidin pada hari Selasa memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihaknya belum mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi pelajar sekolah dan sedang membincangkan penggunaan pelitup muka yang boleh digunakan semula.

Ismail berkata kerajaan menyedari keadaan masyarakat, terutama golongan B40 yang mungkin tidak dapat menampung perbelanjaan untuk membeli topeng muka sekali pakai untuk penggunaan harian.

Menteri itu memberi contoh kisah tular seorang guru di Sandakan, Sabah yang mendapati bahawa salah seorang murid keperluan khasnya memakai topeng muka yang kotor di sekolah kerana keluarganya tidak mampu membeli yang baru.

"Itulah sebabnya kita tak boleh wajibkan lagi pemakaian mask di tempat umum, kecuali di tempat sesak dan dalam pengangkutan awam. Jika tidak ramai orang miskin kena saman," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS