Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas CEO direman 3 hari bantu siasatan kes rasuah lebih RM10 juta

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat direman tiga hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah berjumlah US$2.5 juta (RM10.47 juta) berkaitan pembelian tablet.

Menurut sumber SPRM, lelaki berumur 48 tahun itu disyaki menerima suapan tersebut daripada sebuah syarikat luar negara sebagai balasan untuk pembelian 10,000 tablet berjumlah US$5.8 juta (RM24.3 juta) antara 2014 sehingga 2018, yang dibuat secara sulit tanpa persetujuan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.

Menurut sumber SPRM, wang suapan yang diterima dipercayai disorokkan suspek di luar negara seperti Singapura dan Hong Kong.

Suspek ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira 4.30 petang semalam, selepas hadir memberi keterangan dan penahanan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Suspek yang mengenakan baju jingga SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya pada kira-kira 9.35 pagi tadi dan perintah reman sehingga Sabtu (8 Ogos), dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS