Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
23 kematian di depoh imigresen dari Jan hingga Jun, 3 di lokap polis
Diterbitkan:  Aug 6, 2020 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

Sebanyak 23 kematian dilaporkan di pusat tahanan imigresen antara Januari dan Jun tahun ini, termasuk dua kanak-kanak, kata Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, tiga orang mati dalam lokap polis, dan 188 kematian dilaporkan di penjara dalam tempoh yang sama.

Dalam jawapan bertulis semalam, Kementerian Dalam Negeri berkata daripada semua kematian dalam tahanan imigresen, 18 adalah lelaki dewasa, tiga adalah wanita, dan dua adalah kanak-kanak.

Sebelum ini kementerian telah melaporkan bahawa dua kanak-kanak lain juga telah mati dalam tahanan imigresen antara 2018 dan Januari tahun ini.

Daripada kematian antara Januari dan Jun tahun ini, 10 adalah warga Indonesia, Bangladesh (2), Kemboja (2), Kenya (2), Myanmar (1), Nepal (1), Pakistan (1), Vietnam (1), dan Kanada (1).

Statistik ini tidak termasuk pelancong dari India yang terkanda dan meninggal dunia akibat Covid-19 ketika berada dalam tahanan imigresen.

Lima dari 23 kematian berlaku di depoh imigresen Semenyih; tiga di Langkap, Lenggeng dan Pekan Nenas; masing-masing dua di Juru, KLIA, dan Bukit Jalil; dan masing-masing satu di Ajil, dan Machap Umboo.

Punca kematian tidak dinyatakan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa antara 2016 dan September 2019, 151 orang mati di pusat tahanan imigresen. Ini bersamaan purata 3.3 kematian setiap bulan.

Sebagai perbandingan, kematian Jan hingga Jun 2020 pada kadar 3.8 kematian setiap bulan.

Kementerian Dalam Negeri mengatakan bahawa Jabatan Imigresen telah mengambil langkah menempatkan 14 penolong pegawai perubatan di depoh imigresen di seluruh negara, yang mengenal pasti klinik berdekatan, dan akan melakukan pemerhatian kesihatan secara berkala.

Sementara itu, dari kematian dalam lokap polis, seorang lelaki Melayu mati di Kelantan, dan seorang lelaki Cina mati di Sarawak, sementara seorang warganegara Nepal mati di Kuala Lumpur.

Bagi kematian di penjara, 109 adalah orang Melayu, 25 orang India, 20 orang Cina, dan empat dari kaum lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS