Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali berkata kerajaan akan menambah baik aplikasi MySejahtera untuk kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU) yang buta penglihatan.
Kata Noor Azmi, penambahbaikan aplikasi itu perlu selepas kerajaan mengambil langkah mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di semua premis perniagaan bagi memudahkan proses pengesanan kontak oleh Kementerian Kesihatan.
"Penggunaan aplikasi MySejahtera ini masih lagi diperbaiki dari semasa ke semasa dan penggunaan untuk golongan OKU khususnnya cacat penglihatan ini sedang dibangunkan dan diusahakan oleh kerajaan untuk perbaiki aplikasi ini agar mereka dapat gunakannya. Cumanya sekarang belum siap lagi," katanya kepada Malaysiakini.
Noor Azmi berkata demikian mengulas cadangan penambahbaikan aplikasi MySejahtera.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan semua premis perniagaan wajib menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan pengguna mendaftar masuk lokasi.
Bagaimanapun, pemilik perniagaan turut dibenarkan untuk menggunakan aplikasi tambahan lain untuk tujuan berkenaan.
Pengecualian mungkin diberikan di beberapa lokasi pendalaman yang menggunakan buku untuk daftar masuk premis disebabkan ketiadaan peranti atau akses internet.
MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan dalam memudahkan pengguna bukan sahaja mendaftar masuk ke lokasi, tetapi juga untuk mengikuti pelbagai perkembangan semasa dengan mudah, membuat saringan pantas, dan beberapa tujuan lain dalam era norma baru.