Ketua Whip Perikatan Nasional, Azmin Ali, dituntut memberi penjelasan berhubung perbelanjaan yang digunakan untuk hidangan jamuan makan tengah hari untuk orang kenamaan yang didakwa bernilai lebih RM6,000 baru-baru ini.
Bercakap mengenainya dalam sidang media hari ini, Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran, berkata wang yang digunakan untuk jamuan berkenaan dipecayai diambil daripada peruntukan kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Semasa membangkitkan isu itu, Prabakaran turut menunjukkan gambar yang dirakamkan semasa jamuan tersebut.
Antara yang hadir ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, Shahidan Kassim (Arau), Mahdzir Khalid (Padang Terap), dan Azmin sendiri.
Tidak ketinggalan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.
Kata Prabakaran, berdasarkan resit yang ada, kos untuk jamuan itu berjumlah RM6,525.
Kos tersebut termasuklah udang galah berharga RM2,785, ikan kerai goreng (RM1,950), ayam kampung goreng (RM560), gulai patin tempoyak (RM980), ulam dan sambal (RM75) dan sayur campur (RM175).
"Saya mohon penjelasan daripada ketua whip kerajaan mengenai peruntukan dari kementerian dan GLC itu sebenarnya duit siapa?
"Ini duit rakyat untuk pentadbiran negara ini dan ekonomi.
"Dalam suasana (krisis) Covid-19 ni, apabila rakyat Malaysia hanya makan ubi kentang, mereka (ahli parlimen PN) makan udang galah," katanya di bangunan parlimen hari ini.
Malah Prabakaran mendakwa ada anggota parlimen yang bukan saja menikmati hidangan berkenaan di premis tersebut malah membungkus lebihan makanan untuk dibawa pulang.
Difahamkan bahawa tajaan jamuan makan tengah hari itu akan ditaja sepanjang persidangan Dewan Rakyat pada sesi ini yang bermula pada 13 Julai lalu dan berlanjutan hingga 27 Ogos.
Kementerian dan GLC tertentu akan menaja jamuan untuk ahli parlimen kerajaan tersebut secara bergilir-gilir.
Menurut Prabakaran, hal berkenaan dikesan melalui catatan pada papan putih di bilik ketua whip PN.
Sementara Lim Lip Eng (DAP-Kepong) dan Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) yang hadir dalam sidang media tersebut juga mempersoalkan tindakan tersebut.
Selain anggota parlimen PN, turut wajar memberi penjelasan ialah Azhar sendiri.