Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kedah: K'jaan bekal makanan ke kawasan PKPD Pentadbiran
Diterbitkan:  Aug 5, 2020 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Kerajaan Kedah akan menyalurkan bekalan makanan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran melibatkan empat mukim di negeri itu yang terbabit dengan kluster Sivagangga.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pada masa ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang berusaha mendapatkan butiran mengenai jumlah keluarga yang terbabit bagi membolehkan bantuan disalurkan secepat mungkin.

"Kedah sedang menghadapi cabaran yang berat, penduduk juga tertekan terutama yang berada dalam kawasan PKPD, jadi kerajaan negeri memutuskan untuk menyediakan bekalan makanan untuk mereka memandangkan pergerakan mereka dikawal.

"Maklumat awal kita ada lebih kurang 2,000 keluarga, tapi kita akan dapatkan jumlah yang tepat dengan bantuan penghulu dan pemimpin tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Alor Setar, hari ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata pihaknya juga sudah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri supaya membuat semakan impak kewangan bagi tujuan itu di samping turut memohon bantuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Kawasan yang terbabit dengan PKPD secara pentadbiran adalah satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai di daerah Padang Terap.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri menerima sumbangan pelitup muka daripada pelbagai pihak dan akan mengedarkannya kepada semua penduduk yang terjejas.

"Saya mohon semua penduduk di kawasan terlibat agar tidak keluar dan jagalah kebersihan diri, jaga penjarakan fizikal dan kekal di rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan penduduk di daerah lain terutama yang berada jauh dari kawasan terjejas supaya tidak mengambil kesempatan dalam situasi berkenaan terutama dalam isu kehadiran ke sekolah.

"Janganlah orang yang duduk di Sik atau Baling tak mahu hantar anak ke sekolah sebab takut Covid-19, sebab jauh tu (dengan kawasan PKPD) dan bagi yang berada di kawasan berhampiran (walaupun bukan kawasan PKPD), kita boleh pertimbangkan, buatlah surat kepada pihak sekolah jika bimbang kesihatan anak-anak," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS