Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mempersoalkan mengapa suspek kematian anggota bomba berkenaan dituduh dengan pertuduhan lebih ringan.
Ayah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu meneliti cadangan itu sebaik mungkin dalam usaha membela keadilan terhadap kematian anaknya.
"Saya ada tengok perkembangan cadangan itu, jadi kami hairan juga kenapa tuduhan semula itu dibuat dengan seksyen (peruntukan) lebih ringan, sebaliknya bukan dengan pendakwaan kerana membunuh?
"Saya akan berhubung dengan barisan peguam berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Semalam Menteri Dalam Negeri (KDN) Hamzah Zainuddin berkata kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.
Menurutnya antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).
Seksyen itu berkaitan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang yang memperuntukkan hukuman sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.
Cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.
Muhammad Adib, 24, merupakan anggota bomba yang cedera ketika rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov, sebelum meninggal dunia pada 17 Dis 2018.
Pada 27 September 2019 Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, pada 13 Julai lalu dilaporkan berkata masih tiada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Muhammad Adib dipukul.