Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengeluarkan senarai tempat-tempat yang dianggap tempat awam dan sesak. Di kawasan berkenaan orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka untuk membendung penularan Covid-19.
Selain tempat awam dan sesak, menurut MKN, pelitup muka juga mesti digunakan di ruang tertutup yang bercampur ramai orang.
Antara tempat-tempat yang disenaraikan oleh MKN itu termasuk, masjid dan surau; rumah ibadat bukan Islam; majlis sosial; pengangkutan awam; zoo; bas serta van sekolah; lokasi sukan dan rekreasi (ketika tidak melakukan aktiviti) dan premis kesihatan iaitu klinik dan hospital.
Turut tidak terkecuali adalah pasar awam serta pasar tani; pawagam serta acara secara langsung; salun kecantikan serta rambut; spa, pusat kecantikan serta pusat refleksologi dan pusat hiburan keluarga.
MKN juga menyenaraikan lokasi peruncitan termasuk kedai dobi, kedai, restoran, kompleks beli-belah, pasar raya, bengkel dan stesen minyak.
Orang ramai boleh memperoleh maklumat berkaitan menerusi www.mkn.gov.my.