Kumpulan media dan NGO mengecam Putrajaya kerana membuat serbuan ke atas Al Jazeera dan dua organisasi media lain berhubung dokumentari kontroversi mengenai dakwaan layanan kerajaan Malaysia terhadap pendatang asing tanpa dokumen ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam kenyataan media hari ini, Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) menggesa kerajaan menghentikan serangan terhadap organisasi media berkenaan.
"Amat dikhuatiri bahawa tekanan terhadap Al Jazeera dan pihak-pihak berkait dokumentari tersebut masih berterusan, di sebalik tumpuan meluas dan bantahan dari organisasi masyarakat sivil, ahli politik dan orang awam," kata CIJ.
Badan pemantau media itu mengulangi seruannya agar kerajaan menjalankan penyiasatan bebas ke atas dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan dalam dokumentari "Locked up in Malaysia's Lockdown", dan tindakan lanjut diambil berdasarkan hasil siasatan.
Semalam, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyerbu pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur, pejabat Astro dan UnifiTV.
Polis mula menyiasat Al Jazeera bulan lalu berikutan laporan yang dibuat oleh Jabatan Imigresen di Putrajaya.
Al Jazeera disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seorang pekerja migran yang ditemuramah dalam dokumentari itu ditangkap pada 24 Julai dan pihak berkuasa mengatakan bahawa dia akan "dihantar pulang dan disenarai hitam dari memasuki Malaysia selama-lamanya".
"Tindakan ke atas beberapa media ini merupakan isyarat satu usaha terancang oleh pihak kerajaan untuk mendiamkan suara dan laporan-laporan kritikal atau menentang yang berpotensi memberikan gambaran buruk terhadap sebarang tindakan kerajaan.
"Ini merupakan ancaman serius terhadap hak mendapatkan maklumat serta kebebasan bersuara dan berekspresi.
"Kami amat risau sekiranya tindakan sebegini berterusan, asas demokrasi negara akan terancam dan kepentingan politik akan terus melangkaui kepentingan rakyat," katanya.
CIJ juga menyatakan kebimbangan perkembangan ini akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam World Press Freedom Index, yang baru-baru ini mencatat lonjakan.
CIJ juga menggesa moratorium penggunaan undang-undang yang disifatkan menindas termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas) 1981.
Sementara itu, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengatakan pihaknya melihat serbuan ke atas pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur, Astro dan UnifiTV merupakan satu lagi langkah untuk mengekang kebebasan media.
"Kami mengulangi seruan global bahawa kewartawanan bukanlah suatu jenayah dan wartawan tidak boleh diserang dengan cara apa pun hanya kerana menjalankan tugas.
"Ini termasuk serangan dalam talian yang disasarkan kepada kakitangan Al Jazeera dan wartawan oleh pengguna media sosial yang mengecam dokumentari itu," kata Geramm.