mk-logo
Berita
Saksi: Bekas pegawai Rosmah minta Jepak taja umrah

KES ROSMAH | Bekas rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak) Rayyan Radzwill Abdullah mendakwa bekas pegawai Rosmah Mansor, Rizal Mansor telah memberi tekanan kepadanya agar Jepak menaja keluarganya untuk melaksanakan umrah di Mekah.

Rayyan Radzwill, yang merupakan saksi pendakwaan ke-16 perbicaraan kes rasuah terhadap Rosmah, berkata Rizal menekannya agar mendapatkan wang daripada pengarah urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela Akberdin Abdul Kader di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Rayyan menjawab soalan berkenaan bayaran yang didakwa diterima Rizal daripada Jepak antara 2016 dan 2017.

Menurutnya, dia tidak sedar berkenaan dakwaan bayaran berjumlah RM350,000 yang dibuat tujuh kali (RM50,000 bagi setiap peringkat).

"Saya tak sedar...Tetapi ada sekali dia pergi umrah," katanya, mengimbas kembali bagaimana Rizal memintanya agar meyakinkan Saidi untuk menaja perjalanan itu.

"Dia menekan saya dan kerana ia adalah umrah, saya minta dia (Saidi) untuk beri (wang) dan Saidi setuju," katanya.

Dia bagaimanapun berkata Saidi tidak menyatakan jumlah yang diberikan kepada Rizal.

Rayyan juga mengesahkan keterangannya sebelum ini bahawa dia menemani Saidi ke rumah Rizal di Segambut pada 23 Disember 2016 dan membuat bayaran RM500,000 sebagai "habuan" membantu Jepak mendapatkan projek solar hibrid Kementerian Pendidikan.

Dia juga setuju dengan cadangan Akberdin bahawa dia berulang kali menasihati Saidi agar berhati-hati dalam soal wang tunai, termasuk ketika berurusan dengan Rizal yang dikatakan menggunakan nama Rosmah untuk mendapat wang.

Berhubung soalan berkenaan pertemuannya di rumah Rosmah pada September 2017, Rayyan menegaskan dia tidak tahu yang Saidi ketika itu membawa wang tunai berjumlah RM1.5 juta, sehinggalah diberitahu tentangnya selepas pertemuan selesai.

Terdahulu, Rayyan tidak setuju dengan cadangan Akberdin bahawa ada tiga individu berprofil tinggi - menteri pendidikan ketika itu Mahdzir Khalid, ketua setiausaha kementerian pendidikan ketika itu Madinah Mohamad dan penggatinya Alias Ahmad - telah "berpakat secara sulit" dengan Jepak.

"Saya tak tahu apa-apa pakatan sulit tetapi mereka tidak melindungi Jepak Holdings," katanya, sambil mendakwa ia menyebabkan tiada tindakan diambil terhadap aduan berkaitan pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Perbicaraan di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi sebagai habuan atas bantuan mendapatkan kontrak bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak menerusi rundingan terus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS