Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Sabah boleh elak kluster baru jika semua beri kerjasama

Pilihan raya boleh diadakan tanpa sebarang kewujudan kluster Covid-19 baru jika semua pihak yang terlibat termasuk parti politik, calon dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pemangku Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan pilihan raya mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya yakin kalau semua pegawai (SPR) tahu tugasnya dan orang ramai pun boleh bantu dengan kerjasama, kita boleh adakan pilihan raya dengan mana sahaja tanpa kluster pilihan raya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di bengkel libat urus pindaan akta kesalahan pilihan raya bersama parti-parti politik di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, negara bakal menghadapi dua pilihan raya buat masa ini, iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijadual bakal bermula pada 29 Ogos ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang belum diketahui tarikhnya.

Mengulas berkenaan ketetapan tarikh PRN Sabah, Dr Azmi menjelaskan bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut dalam dua minggu lagi.

“Tarikh tu saya tak boleh beri apa apa pengumuman... kita mesti ada mesyuarat khas untuk tentukan PRN Sabah.

“(Mesyuarat) itu juga saya boleh kata akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi,” katanya lagi.

Tambah Azmi, SPR juga tidak akan mempunyai masalah untuk mengendalikan pilihan raya itu dengan SOP yang tersedia kerana sudah mempunyai pengalaman ketika di PRK DUN Chini.

“Kita dah ada pengalaman di Chini dan akan ada pengalaman di (DUN) Slim, mesti yang kita risau adalah (penularan) Covid-19.

“[...] Kita akan ikut SOP (Covid-19) yang ditentukan KKM yang kita dah amalkannya di (DUN) Chini yang akan dipakai ke (DUN) Slim dan juga di Sabah nanti,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS