Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) J Solomon menyifatkan bahawa keputusan mengehadkan pekerja asing untuk sektor perladangan, pertanian dan pembinaan saja tanpa kenaikan gaji untuk pekerja tempatan merupakan langkah yang memberi kesan buruk terhadap ekonomi.
Malah, Solomon menyifatkan langkah itu sebagai 'hara-kiri' terhadap ekonomi. Hara-kiri merupakan istilah yang digunakan dalam budaya Jepun merujuk kepada tindakan bunuh diri.
"MTUC yakin bahawa kerajaan melakukan 'hara-kiri' terhadap ekonomi dengan mengehadkan tenaga kerja asing hanya kepada tiga sektor, dengan harapan dapat memberikan lebih banyak pekerjaan bagi rakyat Malaysia yang diberhentikan akibat kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 .
"Sikap tegas kerajaan terhadap buruh migran kelihatan didasarkan pada kepercayaan bahawa penduduk tempatan akan bersedia dan berani untuk mengambil pekerjaan 3D dan pekerjaan lain di sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan syarat dan ketentuan yang sama dengan pekerja asing.
"MTUC menganggap langkah ini tidak lebih dari sekadar angan-angan kosong yang mengabaikan realiti sebenar," kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, maklum balas yang diterima MTUC menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia hanya akan mengambil pekerjaan yang dikosongkan oleh warga asing sekiranya mereka diberi tawaran yang lebih baik dari segi gaji atau faedah.
"Ini tidak lahir dari sikap negatif pihak tenaga kerja tempatan tetapi hanya berdasarkan keperluan mereka untuk menampung diri mereka dan keluarga mereka memandangkan tingginya kos hidup semasa dan garis kemiskinan yang disemak semula oleh pemerintah," tambahnya.
Solomon menekankan bahawa banyak pekerja asing yang didokumentasikan di Malaysia, dibayar gaji minimum atau sedikit lebih tinggi sementara faedah seperti hari rehat wajib, kerja lebih masa atau faedah perubatan jarang diberikan dan tidak mencukupi.
Lebih buruk lagi, katanya, warga asing yang tidak mempunyai dokumen dan yang diupah secara haram menyebabkan golongan berkenaan bergantung atas belas kasihan majikan yang tidak bertanggungjawab apabila membayar gaji kurang daripada RM1,000 sebulan.
Solomon turut berkata Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan timbalannya Awang Hashim tidak berhubung dengan pihak berkepentingan utama sebelum membuat pengumuman berhubung keputusan itu pada 29 Julai.
"Menjelang dua pengumuman penting yang menandakan perubahan dasar yang ketara, Putrajaya tidak melibatkan MTUC atau Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) melalui Majlis Penasihat Tenaga Kerja Nasional (NLAC) untuk mendapatkan maklum balas - dengan itu menunjukkan bahawa kerajaan PN cenderung mengulangi kesilapan PH," katanya.
Justeru, Solomon menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan langkah untuk menyekat pengambilan pekerja asing ke sektor-sektor tersebut.
Sebaliknya, Solomon mencadangkan kerajaan mengarahkan memerintahkan Kementerian Sumber Manusia untuk berbincang dengan NLAC, sesuai dengan Konvensyen Organisasi Buruh Antarabangsa mengenai rundingan tiga pihak.