Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Punca kluster Bukit Tiram mungkin dari Filipina - KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan jangkitan kluster Bukit Tiram berpunca daripada pelajar yang baru pulang dari Filipina.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sedang menyiasat kemungkinan tersebut.

“Ada dua pelajar yang kita lihat pada kluster Bukit Tiram yang kembali dari Filipina.

“KKM masih dalam siasatan tetapi besar kemungkinan jangkitan adalah daripada salah seorang pelajar tersebut dan menjangkiti yang lain," katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata satu kes kluster Bukit Tiram di luar Johor juga telah dilaporkan iaitu di Selangor.

Beliau berkata, kebimbangan KKM kini adalah berkaitan komuniti Roman Katolik di sebuah gereja di Johor, namun pihak kementerian telah menjalankan saringan sasaran terhadap mereka.

"Bagaimanapun tiada pertambahan kes kluster baru sejak dua tiga hari ini. 

"Jadi, dalam pemantauan KKM, kita akan memasukkan golongan Gereja Roman Katholik dalam kategori saringan sasaran KKM.

"Kaedah sama dilaksanakan untuk sekolah tahfiz dan juga jemaah tabligh," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan keperluan cadangan untuk menyahkuman di tempat-tempat tumpuan ramai, Noor Hisham berkata proses tersebut perlu dilakukan setiap hari dan bukan enam bulan sekali seperti yang dicadangkan.

“Kalau kita lihat pada sanitasi awam, nyahcemar dan nyahkuman kalau boleh dijalankan bukan hanya enam bulan sekali, tetapi setiap hari di tempat-tempat yang kerap disentuh oleh orang ramai.

Jadi, kita sepatutnya melaksanakanya setiap hari. Kita kena pastikan kawasan atau kedai atau tempat-tempat yang kerap disentuh dinyahcemar dan dinyahkuman. Inilah nasihat dari KKM dan setiap hari kita nasihatkan tindakan ini,” katanya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam berkata akan meneliti cadangan melakukan operasi sanitasi awam di restoran dan kedai makan bagi setiap enam bulan atau secara tahunan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) mengkaji kewajaran cadangan itu sebagai satu amalan normal baru ekoran penularan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS