Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis sahkan terima laporan kematian pelancong India di depoh tahanan

Pihak polis hari ini mengesahkan telah menerima dokumen berkaitan kematian pelancong India di depoh Imigresen, Zeawdeen Kadar Masdan.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut.

“Saya tak boleh dedahkan punca kematian. Ini boleh subjek kepada inkues nanti.

“Saya hanya boleh sahkan bahawa dokumen telah diterima dan kita tunggu lah...mungkin ada inkues, ataupun ada siasatan yang dibawa di mahkamah.

“Kalau saya dedahkan di sini, ia akan merosakkan (prejudicial) penyiasatan,” kata Mazlan ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Petaling Jaya.

Ditanya pengesahan adakah inkues akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Zeawdeen, Mazlan berkata belum ada keputusan lanjut bagi perkara berikut.

“Kita akan tengok dari kertas inkuiri kematian tersebut...apa-apa pun pendedahan tak boleh dibuat sekarang,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata bedah siasat telah dilakukan ke atas Zeawdeen namun punca kematian pelancong itu diketahui selepas seminggu kerana banyak keputusan ujian makmal yang tertangguh.

Zeawdeen meninggal dunia pada 14 Jun di depoh Jabatan Imigresen di Bukit Jalil selepas menerima rawatan untuk Covid-19.

Malaysiakini difahamkan pada akhir bulan lalu, ujian bedah siasat telah selesai namun keputusannya tidak dapat didedahkan kerana telah dihantar ke pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Mengulas isu lain, Mazlan juga enggan mendedahkan butir-butir operasi bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Indonesia susulan penangkapan orang dalam buruan kes rasuah Djoko Tjandra pada Khamis lalu

“Butirannya saya tak dapat beri off the cuff (tanpa persediaan terlebih dahulu).

“Apa-apa pun subjek (Djoko) telah pun dibawa balik ke Indonesia. Itu saja yang saya boleh dedahkan setakat ini.

“Kita pun tak umum. Kita tak mahu pergi kepada sebab apa ditangkap dan sebagainya,” katanya lagi.

Ditanya penjelasan di sebalik ucapan terima kasih pihak polis Indonesia kepada PDRM atas kerjasama, Mazlan menegaskan, “Kita tangkap dia kita bawa balik dia. Itu saja”

Djoko, 68, dilaporkan telah diserahkan oleh pihak berkuasa Malaysia pada malam hari Khamis lalu kepada polis Indonesia.

Djoko kemudian dibawa pulang ke Jakarta dengan jet peribadi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya.

Djoko tersenarai sebagai individu dikehendaki Indonesia setelah lari dari negara itu sejak 2009.

Djoko sebelum ini hidup dalam buruan di Papua New Guinea dan kemudian Malaysia untuk melepaskan diri dari hukuman penjara dan denda kerana disabitkan atas kesalahan penyelewengan dana Bank Bali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS