Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sesi persekolahan bagi tahun 2021 bermula 20 Jan
Diterbitkan:  Aug 3, 2020 5:30 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Pembukaan penggal pertama persekolahan seluruh negara bagi tahun 2021 akan bermula pada 20 Januari, lebih lewat daripada kebiasaan.

Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berkata, cuti sekolah akhir tahun bagi tahun 2020 akan dipendekkan disebabkan oleh penangguhan peperiksaan akhir tahun.

"Persekolahan 2021 perlu dilewatkan kerana periksa kita lewatkan, SPM telah kita lewatkan," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi pihak Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini..

Peperiksaan SPM dan STPM sebelum ini ditangguhkan ke suku pertama 2021.

Sekolah dijadual berakhir pada 17 Disember di negeri yang bercuti pada hari Jumaat dan pada 18 Disember bagi negeri-negeri lain selepas ditutup berikutan wabak Covid-19

Cuti akhir tahun dikurangkan daripada 42 hari di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada 14 hari dan negeri-negeri lain daripada 41 hari kepada 13 hari.

Radzi berkata sesi persekolahan bagi tahun 2021 tidak dapat diumumkan lebih awal kerana prosedur perlu diikuti sebelum takwim persekolahan tahun depan ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan ingin memastikan pelajar memperoleh pemahaman minimum mengenai mata pelajaran yang sepatutnya mereka pelajari tahun ini apabila persekolahan berakhir.

"Kita risau kalau tahun ni pelajar tak dapat menguasai tahap minimum masuk tahun hadapan, mula bulan 1, bulan 2, kalau tak dapat faham apa yang patut belajar tahun lepas masuk bulan ke-3, pelajar-pelajar mungkin akan hilang motivasi kerana mereka rasa mereka banyak ketinggalan," katanya.

Sekolah ditutup pada bulan Mac lalu ketika negara ini melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pelajar secara beransur-ansur dibenarkan kembali ke sekolah pada bulan Julai dengan pelaksanaan penjarakan fizikal yang ketat.

Sewaktu sekolah ditutup, guru dan pelajar menggunakan kaedah e-pembelajaran dan kaedah lain agar pembelajaran dapat diteruskan di rumah.

Bagaimanapun, Radzi di parlimen hari ini berkata kaedah tersebut mempunyai kelemahan kerana 36.9 peratus pelajar tidak mempunyai peralatan yang sesuai untuk kaedah e-pembelajaran.

Katanya, terdapat juga masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam mendapatkan akses ke internet terutama bagi pelajar luar bandar.

Bagaimanapun, terdapat alternatif bagi pelajar terbabit seperti saluran TV dan radio pembelajaran khusus, malah guru juga menghantar bahan pembelajaran kepada pelajar melalui pos atau kaedah pandu-lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS