Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Program Mukhayyam: Jakim lapor polis terhadap akaun Twitter

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini membuat laporan polis terhadap satu akaun Twitter yang didakwa membuat tuduhan palsu dan tidak berasas mengenai program Mukhayyam untuk komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) beragama Islam yang dijalankan jabatan itu.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Paimuzi Yahya berkata jabatan itu turut mengecam hantaran akaun Twitter berkenaan yang telah menyamakan program Mukhayyam tersebut dengan amalan terapi pertukaran dari barat seperti menggunakan kejutan elektrik, pembedahan, kahwin secara paksa dan rogol secara korektif.

“Jakim berpandangan tuduhan tersebut berbaur manipulatif, berniat jahat serta dilihat ingin menghalang dan menyekat hak kebebasan beragama warga Muslim dalam komuniti LGBT yang ingin menjalani kehidupan yang lebih baik selari dengan tuntutan syariat,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu katanya Jakim membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat individu berkenaan selain menjaga nama baik agensi tersebut.

Paimuzi menegaskan bahawa program Mukhayyam yang dianjurkan bersama oleh Jakim dan jabatan agama Islam negeri adalah bersifat sukarela dengan pendekatan harmoni dan holistik yang menekankan aspek kesedaran kerohanian, bimbingan fardu ain, kesedaran kesihatan, motivasi dan bimbingan kerjaya.

Semakan di akaun Twitter berkenaan mendapati terdapat tiga hantaran yang dimuat naik pada hari tersebut yang mengkritik program Mukhayyam dan antaranya mendakwa kerajaan mahu memberi tekanan kepada golongan LGBT.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS