Paling Popular
Terkini

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao Krishnan Naidu, akan 'mengadap' polis esok untuk memberi keterangan berhubung ciapan yang mengaitkan seorang hakim dengan Dr Mahathir Mohamad.

Hal itu disahkan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, kepada Malaysiakini hari ini.

"Suspek akan datang ke Bukit Aman pada 4 Ogos," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial satu ciapan yang mendakwa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mempunyai pertalian darah dengan bekas perdana menteri itu.

Dalam ciapan berkenaan, pemiliknya mendakwa Mohd Nazlan - yang mensabitkan Najib Razak atas semua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram - sebagai cucu atau cucu saudara Mahathir.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Untuk rekod Ramesh Rao sejak beberapa ketika gigih membela Najib dan isteri bekas perdana menteri keenam itu, Rosmah Mansor.

Pada Okt 2018 Ramesh Rao menangis semasa mengetuai sekumpulan orang yang memberi sokongan moral kepada Rosmah ketika wanita berkenaan disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Polis berkata kes ciapan berkenaan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multemedia 1998.

Kes itu dibuka selepas seorang anggota Bersatu, Mohd Afzanizam Abdul Rahman, di Taiping pada 29 Julai lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS